KUALA LUMPUR : Penerbit dan pengarah, Datuk Haris Embong, mengakui tindakannya menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) merupakan satu daripada cara dirinya membuktikan bahawa menjadi anak seni juga perlu seiring dengan ilmu pengetahuan.
Menurut Haris yang juga merupakan seorang pelakon, meskipun sudah menjangkau angka 47 tahun, dia yakin pendidikan tidak mengenal batas usia.
“Saya kecewa apabila ramai selebriti muda menolak pendidikan. Perlu diingat, tidak selamanya kita akan menjadi selebriti.
“Hidup ini seperti roda, ada kala di atas, ada kala di bawah. Sekurang-kurangnya dengan ilmu, apabila diri tidak lagi menjadi bualan di mulut peminat, boleh menceburkan diri dalam kerjaya lain.
“Justeru itu, walaupun sudah di usia ini, saya tetap mencari ilmu. Bukan sekadar ilmu seni tetapi juga mengenai pengurusan, pemasaran dan penjenamaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain itu, jelas Haris yang kini mengikuti
pengajian di Pusat Pengajian Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) Universiti Utara Malaysia (UUM), keputusan ini bukan sahaja memperkukuh komitmennya terhadap seni tetapi juga membuka jalan untuk membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa melalui gabungan pendidikan dan kreativiti.
Malah menurut Haris, dia percaya bahawa dalam dunia seni, bakat dan kreativiti meski menjadi fokus utama, pendidikan juga merupakan elemen pelengkap yang memperluaskan perspektif serta mempertingkatkan daya saing artis.
“Bagi saya, pengajian di peringkat PhD bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi satu langkah strategik untuk membawa industri kreatif dan seni Malaysia ke tahap lebih tinggi serta mengubah persepsi kebanyakan orang yang menyatakan anak seni hanya sekadar anak seni, tanpa ilmu yang boleh dibanggakan.
“Artis yang berpendidikan tinggi sering diberi peluang untuk menyertai persidangan, festival, dan pameran seni global. Ini membuka ruang untuk Malaysia dikenali sebagai hub seni bertaraf dunia.
“Pendidikan membantu artis memahami trend global dan teknologi terkini, menghasilkan karya seni yang mampu menyaingi produksi antarabangsa.
“Dengan lebih ramai artis berpendidikan tinggi, Malaysia dapat menunjukkan kepada dunia bahawa seni di negara ini bukan sekadar hiburan tetapi satu bentuk intelektualisme yang dihormati,” katanya.
Tidak cuma itu, penerbit filem Dendam Hantu Latah dan Hantu Latah The Mummy ini yakin menerusi penguasaan pendidikan di kalangan anak seni, ia dapat memberi impak kepada industri seni Malaysia.
Jelasnya, pendidikan membolehkan artis menghasilkan karya yang memenuhi citarasa antarabangsa sambil mengekalkan elemen budaya tempatan malah, filem dan drama Malaysia berpotensi untuk bersaing di platform seperti Festival Filem Cannes atau Oscars.
“Pendidikan tinggi dalam seni dapat melahirkan generasi muda yang bukan sahaja berbakat tetapi juga berpengetahuan luas. Mereka ini mampu memperkasakan seni Malaysia untuk menjadi sebahagian daripada naratif global.
“Dengan pendidikan, anak seni Malaysia berpotensi menjadi duta budaya yang menjulang nama negara, membuka peluang baru di peringkat antarabangsa, dan memberi impak positif kepada ekonomi kreatif negara,”katanya.