Tidak merancang, Mira Filzah sedia timang anak lagi - Utusan Malaysia

Tidak merancang, Mira Filzah sedia timang anak lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sudah menjadi lumrah, setiap pasangan yang telah berkahwin ingin memiliki zuriat sebagai penyeri dan pelengkap sebuah keluarga.

Meskipun segalanya bergantung pada rezeki, kini soal zuriat merupakan topik sensitif bagi sesetengah pasangan yang mungkin mempunyai perancangan keluarga tersendiri.

Seperti pemilik nama lengkap, Nur Amirah Filzah Badioezaman, 32, yang tidak pernah menolak keinginannya untuk mempunyai cahaya mata lagi.

Menurut Mira, dia tidak pernah merancang untuk memiliki anak kedua memandangkan anak sulungnya, Wan Khair Amir kini sudah berusia tiga tahun.

“Sekarang Amir sudah masuk usia tiga tahun. Kami pun sudah bersedia dan memang berharap dapat menimang cahaya mata kedua,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam masa sama, Mira juga menyerahkan segalanya kepada rezeki selain mahu menumpukan perhatian untuk membesarkan putera kesayangannya dengan baik.

“Sebelum ini, saya memang tidak mahu tergesa-gesa kerana Amir masih kecil dan mahu fokus membesarkan dia. Insya-Allah, kalau ada rezeki itu adalah.

“Untuk anak kedua, kami ada perancangan untuk dapatkan pada masa yang sesuai. Tetapi, kami tidaklah merancang secara ketat.

“Saya juga tidak mengambil sebarang pil perancang dan hanya bergantung kepada rezeki. Cepat atau lambat segalanya terserah kepada ketentuan-Nya,” jelasnya.

Ditanya sama ada dia pernah mendapat tekanan daripada orang sekeliling, Mira positif menganggap perkara itu sudah menjadi norma buat masyarakat terutamanya, peminat yang teruja menantikan khabar gembira daripadanya.

“Tekanan itu tidak ada. Tetapi ada sahaja peminat yang bertanya sama tidak mahu berikan adik kepada Amir. Nanti, bila sedang berpantang mereka kata pula rindu untuk lihat saya berlakon. Soalan-soalan begitu sentiasa ada tapi saya okey sahaja,” ujarnya.

MERANCANG KELUARGA PERLU ATAU TIDAK?

Cakna isu perancangan keluarga menjadi topik penting buat pasangan suami isteri pada era ini, Mira juga sempat berkongsi buah pandangan mengenai hal tersebut.

Kata Mira, isu tersebut penting untuk setiap pasangan mendapatkan kata sepakat sebelum memiliki zuriat memandangkan banyak perkara yang perlu dipertimbangkan.

“Isu ini sebenarnya bergantung kepada masing-masing. Mungkin dari segi peredaran zaman dan keadaan semasa, kita tahu kalau mahu mempunyai anak ini memang banyak perkara perlu diambil kira terutamanya, wanita,” katanya.

Sebagai seorang ibu, pelakon drama Pujaan Hati Kanda itu turut berpendapat setiap wanita perlu mempunyai persediaan dari segi mental, emosi dan fizikal lebih-lebih lagi mereka yang bekerjaya.

Bagaimanapun, Mira menyifatkan perkara itu bergantung kepada sesetengah pasangan yang mungkin mempunyai sebab tersendiri mahu merancang untuk memiliki zuriat atau sebaliknya.

“Macam saya sendiri sebagai seorang isteri dan ibu, kita perlu bersedia dari segi emosi, fizikal dan mental untuk hamil. Kedua, dari segi masa kebiasaannya jika seorang wanita itu bekerjaya dan semestinya dari segi ekonomi yang perlu stabil.

“Jadi, sebab itu saya rasa ada sahaja wanita yang tidak mahukan anak atau hamil. Orang lain juga mungkin ada pendapat dan sebab tersendiri untuk tidak mempunyai anak buat masa sekarang,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai perancangan keluarga, Mira turut mengaitkan situasi tersebut dengan wataknya menerusi drama bersiri, Gadis Masa iaitu Maya.

Menerusi drama tersebut, Maya lebih memilih untuk tidak memiliki zuriat sepanjang perkahwinannya bersama, Khairi demi mengejar impian dan cita-citanya dalam kerjaya.

Selain Mira, drama bersiri terbitan Viu Malaysia itu turut dibintangi oleh Syafiq Kyle, Tracie Sinidol, Bella Dowanna dan ramai lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya