Terima gambar tidak senonoh, saya padam dan tak layan - Alif Hadi - Utusan Malaysia

Terima gambar tidak senonoh, saya padam dan tak layan – Alif Hadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon, Alif Hadi, 36,mengakui sehingga kini masih menerima hantaran gambar-gambar tidak senonoh daripada pengguna media sosial terutama sejak meraih gelaran Aktor Pembantu Filem Popular Anugerah Bintang Popular ke-36 (ABP36) tahun lalu.

Menurut Alif, meskipun rimas dengan perkara itu, dia bagaimanapun tiada cara lain melainkan segera memadam setiap hantaran tersebut supaya tidak menimbulkan sebarang isu lain.

“Sebelum saya menang anugerah pun, ada saja dikacau seperti itu. Mungkin sudah lumrah apabila jadi seorang figura awam atau dikenali ini akan ada sahaja gangguan yang diterima apatah lagi hal seperti ini.

“Tetapi boleh dikatakan, perkara itu semakin menjadi-jadi selepas saya menang anugerah tempoh hari, baik perempuan atau lelaki, ramai hantar gambar. Bukan gambar biasa-biasa, tentunya yang ‘luar biasa’.

“Tetapi saya macam biasa, tidak akan melayan. Bila terbuka hantaran, saya akan terus padam. Saya jenis yang ada prinsip sendiri. Bagi saya kita sebagai selebriti ini kena tunjuk contoh yang baik kepada umum,”katanya.

Selain itu, jelas pelakon drama Obesesi Dia dan Boleh Saya Bantu? ini, dia juga percaya bahawa mana-mana individu yang ingin menceburi bidang seni ini harus mempunyai ketahanan fizikal dan mental yang kuat supaya tidak mudah terjebak dengan perkara tidak baik.

“Kalau ikutkan, dari awal itu rimaslah juga tetapi bila dah biasa dan kita juga kena faham, untuk berada dalam industri hiburan ini, kita kena kuat dari segi fizikal dan mental.

“Tak boleh cepat koyak. Satu lagi, kalau nak cakap pasal benda-benda nafsu ini, kita semua dah besar dan tahu lumrah kehidupan ini macam mana. Kita buat jahat akan dibalas jahat.

“Macam-macam boleh jadi. Kalau tak dapat balasan begini, mungkin Allah beri dengan cara menutup rezeki kita misalnya. Jadi saya berpegang kepada itu. Kita sendiri yang kena pandai kawal benda ini dan tak perlu melayan,” ujarnya.

Dalam pada itu, mengenai perkembangan kerjaya, Alif berkata, dia bersyukur kerana rezekinya semakin mencurah-curah selepas meraih kemenangan di ABP36.

Bagaimanapun, berbanding sebelum ini, dia semakin memilih dan berhati-hati dalam menerima tawaran bagi memastikan momentumnya dan kualiti lakonannya tidak terjejas.

“Dari awal tahun lepas saya memang tidak berhenti ‘shooting’ baik untuk drama bersiri, filem dan telefilem. Syukur Alhamdulillah. Cuma, saya juga rasa penat.

“Sebab itu selepas menang anugerah, saya cuba ambil masa sedikit untuk berehat dan menilai semula kerja-kerja saya. Sekarang ini mungkin saya akan selektif sikit untuk menerima sebarang watak. Boleh sahaja saya ‘pulun’ semua tetapi ia tidak menjamin kualiti kerja saya.

“Kalau ambil sahaja semua, saya juga yang akan penat dan kesihatan akan terjejas. Jadi untuk pastikan kerjaya seni saya ini kekal relevan, saya kena berikan yang terbaik untuk kepuasan penonton, pengarah, penerbit termasuk stesen televisyen,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya