KUALA LUMPUR : Meskipun baharu menjengah pawagam pada 9 Januari lalu, filem Bisikan Dosa arahan Faizul A Rashid bagaimanapun sudah selesai menjalani penggambaran untuk prekuel dengan judul yang sama.
Menurut Faizul, filem tersebut bakal ditayangkan pada pertengahan tahun ini dengan mengekalkan barisan pelakon yang sama.
“Kami menyusun strategi dengan menjalankan penggambaran dua filem sekali gus dalam tempoh 25 hari. Perancangan ini sudah diatur lebih awal dari pihak penerbit.
“Ini juga kali pertama produksi melakukan penggambaran seperti ini. Kos penggambaran pula mencecah RM2 juta untuk satu filem,”katanya.
Faizul berkata demikian semasa ditemui pada majlis tayangan perdana filem berkenaan di ibu negara, baru-baru ini.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai keyakinannya terhadap strategi tersebut, Faizul berkata, pihaknya menaruh harapan agar karyanya itu mendapat sambutan daripada peminat filem tempatan.
“Saya yakin filem ini boleh pergi jauh. Kami cuba lakukan kelainan untuk filem ini dan diharapkan penonton dapat memberikan sokongan terhadap usaha yang kami lakukan.
“Meskipun mungkin ada pihak menganggap strategi yang kami lakukan ini seakan terlalu singkat terutama dari aspek masa, namun kami yakin hasilnya memuaskan,”katanya.
Dalam pada ktu, berkongsi mengenai penggambaran filem berkenaan, kata Faizul, naskhah genre seram ini mengangkat isu postpartum depression (meroyan).
Jelas Faizul, garapan jalan cerita juga adalaj berdasarkan pengalaman penulis skripnya, Zafran Aziz.
“Naskhah ini tercetus daripada pengalaman Zafran sendiri dengan isterinya. Saya juga ada kawan yang mempunyai pengalaman seperti itu (meroyan) jadi dari situ tercetusnya idea untuk hasilkan naskhah ini.
“Tentang pelakon, tipu kalau saya cakap tak susah dapat pelakon. Sebab kita sudah buat perancangan sejak setahun lepas. Kami tidak menolak bahawa filem ini dijalankan dalam tempoh yang pantas, kami habis dalam tempoh 12 hari.
“Namun Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar mengikut apa yang kami telah rancang,”katanya.
Filem Bisikan Dosa membariskan pelakon seperti Uqasha Senrose, Sara Ali, Farid Kamil, Che Puan Juliana Evans, Sherry Merlis dan Syazuwan Hassan.
Filem terbitan Yusrich Global ini turut mendapat sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Rakan Strategik Pemasaran Primeworks Studios (PWS) dan Media Prima Bhd (MPB).