KUALA LUMPUR : Penyanyi dan pelakon, Ani Mayuni, 48, berpendapat, pertandingan realiti seperti Gegar Vaganza (GV), merupakan antara platform yang sesuai buat artis lama kembali ‘bernafas’ dalam industri seni hiburan tanah air.
Malah, ketika ada pihak menyifatkan program seperti itu hanya memalukan penyanyi, Ani atau nama sebenarnya Aishah An-Nur Osman, menganggap ia sebaliknya.
“Saya tahu artis yang komen begitu tetapi lain orang lain pendapat. Bagi saya, kadangkala jika kita sudah terlalu lama dan tidak keluar dari zon selesa, fikiran jadi tidak terbuka.
“Sedangkan setiap hari ada ilmu baharu. Sebagai alumni GV, saya sendiri raih pelbagai ilmu baharu daripada setiap juri terbabit.
“Dulu kita mula menyanyi memang sebab ada bakat, tetapi kebanyakannya tidak berguru dengan cikgu vokal. Tetapi di pentas GV, kita ada juri yang akan menegur dan bantu perbaiki kelemahan nyanyian dan persembahan kita,”katanya.
Ani Mayuni berkata demikian kepada Utusan Malaysia semasa ditemui di majlis rebiu ramadan buffet Selera Bonda yang berlangsung di St.Giles Boulevard, di sini, baru-baru ini.
Selain itu, tambah penyanyi dangdut yang popular dengan lagu Buaya Cinta ini, tuntutan peredaran masa terhadap gaya persembahan dan penghasilan lagu lebih kena selera pendengar juga membuatkan seseorang artis itu perlu bersedia menerima kritikan terutama daripada pengkarya profesional.
“Zaman sekarang kehendak pendengar juga lain. Macam-macam selera, tetapi kita sebagai penyanyi, dalam usaha cari rezeki kena juga belajar tanpa rasa penat dan terima kritikan orang.
“Jangan rasa diri kita sempurna. Mungkin orang yang kritik program macam GV ini kena masuk sendiri dan rasai. Selama ini awak hanya menyanyi di pentas biasa sahaja, cuba nyanyi di pentas besar pula.
“Namun, secara peribadi, saya tak rasa malu dan tak perlu rasa malu pun sertai pertandingan realiti. Sepatutnya berbanggalah sebab dapat raih ilmu yang banyak saya pun bukannya tak ada ‘show’ di luar tetapi tetap nak rasa sendiri pengalaman bertanding di pentas itu.
“Tak cuma itu, kita juga boleh belajar cara membawakan lagu-lagu yang bukan forte kita, itu kelebihannya,”katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai perkembangan kerjaya lakonan, kata Ani, dia meletakkan had untuk tidak terlalu ‘tamak’ mengambil tawaran kerja lakon dalam satu masa.
Katanya, dia lebih selesa memilih cara itu kerana mahu memberi keutamaan kepada kerjaya nyanyian.
“Setahun mungkin saya akan ambil dua tiga tawaran berlakon, tak banyak. Kalau ada ‘show’ menyanyi, saya memang tak ambil kerja lakon. Kadangkala kita pun tahu bukan komitmen lakonan ini makan masa panjang di set.
“Tetapi kalau ada tawaran yang sesuai dan menarik, mungkin saya akan pertimbangkan,”katanya.