KUALA LUMPUR: Pelawak dan selebriti popular, Saiful Apek, tidak menolak sebagai figura awam, orang sepertinya termasuk rakan baik, Yassin Yahya, tidak lari daripada tanggapan buruk segelintir pihak.
Bagi Saiful, keadaan seperti itu seakan menjadi lumrah dalam dunia seni hiburan namun enggan ramai pihak hadir dengan tohmahan terhadap rakan kumpulan Senario itu.
“Kalau nampak sesuatu yang tak elok berlaku, kita kena rasakan diri kita belum cukup baik. Kalau rasa diri baik, kita kena fikir ada orang lebih baik.
“Itu cara untuk muhasabah diri. Kepada orang di luar sana bertanggungjawablah dengan kata-kata,” katanya.
Saiful berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pengumuman 10 Duta Jakel Mendonia di ibu negara, baru-baru ini.
Selain itu, jelas Saiful lagi, dia juga tidak mampu memberikan sebarang komen mengenai keberadaan Yassin kini meskipun sedar ramai tertanya-tanya mengenai rakannya itu.
“Kami rasa perkara itu perlu diserahkan kepada pihak yang mutlak dan lebih sahih. Jadi saya mengambil sikap untuk berdiam diri.
“Semua boleh buat spekulasi dan andaian, tapi kita sendiri tidak ada kepastian mengenai perkara itu, jadi tak berani hendak cakap apa-apa.
“Terus terang cakap, saya sudah kenal dia lama. Dia mungkin tak pandai mana, tapi dia tak bodoh mana. Jadi, kita doakan yang baik-baik,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh mengesahkan penahanan seorang rakyat Malaysia di Jeddah, selepas disyaki terbabit memiliki dadah jenis ganja namun tidak mendedahkan identitinya.
Pelawak itu dilapor sedang menjalani hukuman penjara selama enam bulan di negara itu. Hukuman berkenaan dijatuhkan ketika perbicaraannya, November lalu.
Sumber dilapor berkata, pelawak itu berkemungkinan akan dibebaskan lebih awal dari tempoh yang ditetapkan sekiranya berkelakuan baik.
Dalam perkembangan lain, Senario diumum sebagai duta Jakel bagi memperhebat kempen Raya Mendonia Bersama Jakel 2025.
Selain Senario, selebriti lain yang diumum sebagai duta adalah Fattah Amin, Amira Othman, Nabil Ahmad seisi keluarga, Cik Epal, Elly Mazlein, Anzalna Nasir seisi keluarga, Sallywho seisi keluarga termasuk Upin & Ipin.