KUALA LUMPUR : Penyanyi terkemuka, SZA, mengakui dirinya masih seorang Muslim sekali gus menafikan dakwaan bahawa dirinya telah menukar agama Hindu.
Ia susulan dakwaan segelintir pihak bahawa kononnya SZA berbuat demikian setelah melihat perkongsian terbaharunya di media sosial yang memaparkan dirinya mengikuti aktiviti spiritual yoga.
SZA atau nama sebenarnya Solana Imani Rowe,36, menegaskan akidahnya tidak terpesong selain menegaskan yoga bukanlah aktiviti keagamaan seperti didakwa ramai.
“Yoga bukan sebuah agama (atau aktiviti berkaitan agama). Aktiviti ini adalah sains dan cara menyelesaikan masalah (tool box). Harap penjelasan ini membantu,” katanya.
Penyanyi lagu Kill Bill itu juga menegaskan, dia masih seorang Muslim dan aktiviti yang dilakukannya tiada kena-mengena dengan pegangan akidahnya sekarang.
“Benda ini bukan sesuatu yang berkait dengan ajaran Hindu. Saya dibesarkan dengan cara Islam dan Kristian.
“Saya percaya Tuhan akan sentiasa melindungi hamba-hambanya tidak kira di mana kita berada di atas dunia yang luas ini,” katanya menjawab persoalan seorang peminat lain.
Terdahulu, menerusi muat naik terbaharu dalam Instagram, pemenang empat trofi Grammy itu berkongsi aktiviti kerohanian yang dilakukan di India.
SZA mendedahkan dia hidup tanpa gajet selamat lapan hari sepanjang berada di sana demi mendapatkan ketenangan jiwa dan keseimbangan rohani termasuk mengamalkan senaman yoga.
Ibu SZA bernama Audrey Rowe merupakan seorang penganut Kristian sementelah bapanya, Abdul-Alim Mubarak-Rowe menganut agama Islam sehingga kini.
Sebelum bergelar penyanyi popular, SZA pernah mendedahkan bahawa dia sebelum ini berhijab namun memutuskan untuk tidak lagi menutup aurat disebabkan persepsi khalayak terutama selepas tragedi serangan bom 9/11 di AS.