PETALING JAYA: “Bertiga sementara, Bocey selamanya.”
Demikian kata pelawak Achey ketika menitipkan ucapan istimewa buat Allahyarham Abam sempena ulang tahun kelahirannya sewaktu menunaikan umrah di Tanah Suci.
Menerusi sebuah hantaran di TikTok, Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah, 39, juga sempat mendoakan kesejahteraan sahabat baiknya itu.
“Abam, selamat hari jadi. Insya-Allah, moga Allah merahmati roh kamu sahabat. Banyak doa aku untuk kau dekat tanah Mekah ini,” katanya.
Tersentuh dengan ucapan tersebut, perkongsian itu telah dihujani dengan pelbagai reaksi daripada warganet yang turut mendoakan kesejahteraan Allahyarham.
“Susah nak jumpa sahabat dunia akhirat yang sentiasa kenang dalam doa walau tanah kubur dari merah sudah bertukar coklat. Rezeki abam ada kawan-kawan dunia akhirat. Alhamdulillah,” komen peminatnya.
“Al-Fatihah untuk arwah Abam. Moga rohnya ditempatkan dikalangan orang-orang beriman,” komen seorang netizen.
“Semoga Allah pelihara persahabatanmu, Achey, Fad dan Abam,” komen seorang lagi peminatnya.
Pada 10 Februari 2020, Allahyarham Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mukhtar Syed Mohd Ridzuan meninggal dunia di rumahnya di Gombak, Selangor ketika berusia 32 tahun.
Pemergian Abam akibat demam panas mengejutkan ramai dan ditangisi dunia komedi tanah air.