KAJANG : Penyanyi, Datin Alyah, 44, mendedahkan pernah menyimpan lima telur sebagai persediaan menjalani proses Persenyawaan In-Vitro( IVF) namun terpaksa dilepaskan atas nasihat doktor.
Menurut Alyah, keputusan tersebut dibuat berikutan risiko yang kemungkinan boleh menyebabkan bayi yang dikandung mengalami kecacatan.
“Sebenarnya saya tidak mandul. Saya pernah mengalami keguguran pada 2017 dan mempunyai lima telur iaitu tiga lelaki dan dua perempuan yang sepatutnya saya disenyawakan pada 2023.
“Awalnya, prosedur mengambil telur itu pada 2021 tetapi ketika itu kita semua diuji dengan pandemik Covid-19 yang menyebabkan doktor menasihatkan saya tangguhkan IVF sehingga situasi kembali pulih.
“Sekiranya kalau hamil juga saya berdepan dengan risiko. Selepas itu saya alami gatrik dan gerd, saya ingatkan bila saya buat bariatrik ia akan jadikan saya mudah untuk hamil. Tetapi apa yang manusia ciptakan ini tidak sehebat ciptaan Allah, ada kesannya.
“Sakit yang saya alami itu sudah pulih namun nutrisi dalam badan saya kurang sebab saya makan sikit. Kalau saya mahu hamil juga ia akan mendatangkan risiko kepada bayi yang dikandung,”katanya.
Menjelaskan lebih lanjut, Alyah berkata, selain saranan doktor, suaminya Datuk Ramli MS turut menasihatkan dirinya melupakan hasrat meneruskan IVF kerana bimbang keadaan kesihatannya.
“Tok Ram sendiri bimbang dengan saya kerana proses IVF itu sangat menyakitkan dan risiko akibat penyakit saya juga besar. Walaupun sedih, saya akur.
“Bukan mudah untuk membatalkan proses IVF tersebut kerana kos yang kami keluarkan juga mencecah hampir RM100,000. Tetapi, saya percaya aturan Allah itu Maha Hebat, kita manusia hanya mampu merancang,”katanya.
Kongsi Alyah lagi, dia juga tidak sangka doanya ketika mengerjakan ibadah umrah pada 2023 dimakbulkan Allah apabila dua hari kemudian menerima khabar gembira mengenai kehadiran seorang bayi perempuan dari kalangan keluarga rapatnya.
“Selepas itu, saya memang tak fikir dah soal anak. Saya doa pada Allah apa yang terbaik saya terima. Tidak lama kemudian saya dapat panggilan telefon daripada ahli keluarga terdekat yang mahu menyerahkan seorang bayi.
“Mungkin ini berkat doa ketika saya menunaikan umrah sebelum itu,”katanya.
Alyah menjelaskan tidak pernah merancang untuk mengambil anak angkat kerana merasakan bukan mudah untuk memeliharanya.
“Saya tak pernah rancang 2024 atau 2025 nak ambil anak angkat. Tapi kehadiran Zara (Nur Izzara) ini secara tiba-tiba. Dua hari lahir, selepas itu diserahkan kepada saya.
“Zara sekarang dah berusia sembilan bulan dan dah tumbuh gigi. Keadaannya kira lain pada saya. Sebelum ini saya berjalan keluar dari Kuala Lumpur dan dua tiga hari baru balik rumah.
“Sekarang dah tak boleh buat begitu kerana nak cepat balik rumah kerana rindukan Zara,” katanya.
Alyah ditemui ketika hadir pada program Preview Ramadan Park Inn by Radisson Putrajaya di sini, semalam.
Sajian Warisan Bonda, Bufet Ramadan di Restoran RBG menawarkan lebih 100 hidangan khas sempena Ramadan bermula dari 2 Mac hingga 28 Mac ini.