KUALA LUMPUR : Pelakon dan selebriti terkenal, Datuk Hans Isaac, 53, menaruh harapan agar tahun ini dirinya bakal mendirikan rumah tangga dan tidak lagi bergelar seorang lelaki bujang.
Perkara itu diluahkan pelakon Baik Punya Cilok dan J Revolusi ini menerusi satu perkongsian di Instagram yang turut menyaksikan hasratnya untuk membuat beberapa perubahan lain untuk tahun 2025.
“Selamat datang tahun 2025 dengan permulaan baharu yang lebih segar. Untuk tahun ini, saya ingin keluar dari zon selesa dan memberi ruang untuk pengembaraan serta orang baharu dalam hidup saya.
“Ini termasuk kesihatan, keluarga, rakan-rakan. Saya juga berharap agar diri tidak lagi bujang pada 2025. Saya perlu melepaskan masa lalu dan memiliki pemikiran yang lebih segar. Saya juga ingin membina keluarga saya sendiri.
“Saya mahu berusaha lebih dan tidak lagi menyembunyikan diri di sebalik kerja seperti beberapa tahun kebelakangan ini. Tahun 2025 akan melihat Hans yang lebih santai,”katanya.
Selain itu, pelakon yang juga Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) ini turut sedar bahawa dia perlu fokus untuk membahagiakan diri sendiri kini setelah sekian lama sering berbuat demikian terhadap orang lain.
“Saya selalu menjadi seorang yang suka memberi dan berusaha membahagiakan orang lain, tetapi kali ini saya ingin lebih fokus untuk membahagiakan diri sendiri.
“Saya tidak akan membiarkan orang lain mengambil kesempatan ke atas saya lagi,”katanya.