KUALA LUMPUR : Pelakon, Saharul Ridzwan, 35, meluahkan rasa terharu dan beruntung apabila diberi peluang untuk berkongsi pengalaman hidup yang kini menyaksikannya banyak berubah ke jalan Allah.
Menurut Saharul atau nama sebenarnya, Mohd. Saharul Ridzwan Hashim, dia juga tidak menyangka bahawa suatu hari, Allah membuka peluang buatnya untuk berkongsi pengalaman dengan orang ramai terutama untuk perkongsian yang bermanfaat apalagi berada bersama pendakwah bebas lain.
“Bila Allah letak kita di satu tempat, itu bukan kebetulan. Allah nak bagi peluang, bukan untuk saya mengajar, tapi untuk saya berkongsi. Semoga ada sedikit yang saya mampu sampaikan, walaupun kecil.
“Dulu, saya ajak manusia tengok drama lakonan saya sendiri. Tapi Alhamdulillah, sekarang saya belajar perlahan-lahan mengajak manusia tengok ‘drama’ sebenar.
“Kisah realiti yang Allah tulis dalam hidup saya. Cerita yang penuh kasih sayang rab hikmah daripadaNya,” tulisnya di Instagram.
Selain itu, bapa kepada tiga cahaya mata itu turut berkongsi pesanan tentang penghijrahan selain menyeru semua agar kembali kepada agama.
“Comeback is Real. Kali ini kita buat sungguh sungguh. Insya-Allah.
“Hijrah itu bukan tanda kita lemah. Hijrah itu tanda Allah sayang. Kadangkala kita rasa diuji, tapi sebenarnya Allah nak bersihkan hati kita. Hijrah ni bukan perlumbaan. Setiap orang ada tempoh dan langkahnya sendiri.
“Baliklah pada agama. Sebab hanya dengan agama, hidup kita akan ada arah. Dunia ini sementara. Semua yang kita ada, semuanya amanah. Gunakanlah untuk agama, sebab itu yang akan kekal sampai akhirat,”katanya.
Saharul mula dilihat memperlahankan kerjaya lakonannya sejak beberapa tahun lalu dan aktif mengikuti aktiviti berdakwah dan menceburi bidang perniagaan.