SYDNEY : Selebriti dan bekas peragawati terkemuka antarabangsa, Tyra Banks, mendedahkan, dia juga merupakan antara kelompok artis yang berputih mata apabila kediamannya di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) turut musnah dalam kejadian kebakaran hutan yang melanda beberapa kawasan di bandar itu.
Menerusi perkongsian Tyra dalam sebuah program televisyen di Australia, dia mengakui tidak mencanang perkara itu atas alasan sendiri.
“Saya salah seorang daripada mereka (mangsa kebakaran). Saya kehilangan kediaman sendiri dalam kejadian itu.
“Saya sebenarnya tidak bercakap banyak mengenainya, tetapi ya, saya kehilangannya. Saya tidak mahu terlalu menarik perhatian orang terhadap diri ini kerana saya rasa ada ramai orang lain yang memerlukan perhatian itu.
“Jadi saya tidak banyak bercakap mengenainya. Tetapi saya tidak boleh duduk di sini dan tidak bercakap benar, jadi ya, kami kehilangan rumah kami,”katanya.
Tyra memberitahu, ketika kejadian, dia dan pasangannya, Louis Bélanger-Martin, berada di rumah seorang rakan mereka di Australia sebelum mendapat tahu bahawa kediaman mereka telah musnah.
“Kami sedang meraikan sebuah majlis dan berseronok. Ketika mendapat tahu mengenai perkara itu, saya kerap memeriksa telefon bimbit untuk maklumat terkini.
“Bukan untuk mengetahui keadaan rumah saya, tetapi untuk memastikan rakan dan keluarga berada dalam keadaan selamat dan mahu memastikan mereka berpindah daripada tempat berkenaan.
“Sepatah pun saya tidak cakap dengan rakan-rakan di majlis berkenaan. Apabila saya pulang ke rumah, saya dan Louis sama-sama menangis mengenang nasib malang yang berlaku,”katanya.
Bagaimanapun, Tyra bersyukur kerana kebanyakan barangan peribadi yang berharga dan nostalgia ditempatkan di kediaman mereka di Australia dan bukan di LA.
Terdahulu, jumlah kematian telah meningkat kepada 27 apabila ribuan orang kehilangan tempat tinggal selain angka yang dijangka terus meningkat.
Kawasan yang terjejas teruk oleh kebakaran ini termasuk Altadena, Pacific Palisades, Eaton, dan beberapa kawasan lain.