KUALA LUMPUR: Pelakon, Scha Alyahya mendedahkan timbul kerisauan dalam hati sekiranya amalan yang dilakukan sekarang tidak diterima Allah sementelah dia juga mahu memudahkan urusan ibunya di negeri abadi.
Jelas pelakon Awan Dania itu, dia juga sering berdialog sendirian dengan Tuhan mengenai urusan hati dan sentiasa berdoa niatnya untuk berubah dipermudahkan.
“Saya takut benda yang saya buat, akan mengehadkan pahala saya kelak. Saya takut jika semua itu ibu saya akan tanggung.
“Setiap hari, saya dan Tuhan berborak. Dalam bilik seorang diri. Saya minta apa sahaja kepada-Nya dipermudahkan.
“Apa yang saya paling risau adalah benda tak elok akan sampai (kepada ibu), yang elok ada halangan. Saya kena luruskan diri dahulu,” katanya.
Scha ditemui rakan media selepas pelancaran koleksi raya Slay-sa Raya Shawl Publika x Seth and Luna di ibu kota hari ini.
Sebelum ini, timbul desas-desus Scha ingin berhijab dan berubah ke arah kebaikan.
Scha juga sering berkongsi petikan kata-kata berunsur keagamaan dalam media sosialnya.
Scha juga mengakui sudah lama memasang niat untuk memakai hijab namun tidak mahu uar-uarkan dan mengharapkan doa peminat untuknya.
“Rasa niat untuk berubah selepas balik umrah sebenarnya. Usia pun nak masuk 40 tahun. Niat sudah sebelum arwah ibu meninggal dunia lagi.
“Dah lama pasang niat (pakai tudung). Doakan untuk saya dan banyak benda lain saya praktis untuk dekatkan diri dengan Allah. Kalau nak cerita, sedih sangat,” ujarnya.
Model terkemuka itu sudah lama memberi bayangan untuk berubah kepada suami dan sering menyertai kelas agama tetapi memilih untuk tidak berkongsi.
“Sebenarnya saya selalu juga bagi bayangan dekat Awal. Rasanya, dia perasan perkara tersebut. Saya selalu pergi kelas agama bersama kawan-kawan tetapi memilih untuk tidak berkongsi,”katanya.