Ramai tak berani, lagu saya itu memang susah - Syafinaz Selamat - Utusan Malaysia

Ramai tak berani, lagu saya itu memang susah – Syafinaz Selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penyanyi dan juri program Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11), Datuk Syafinaz Selamat, mengakui tidak semua penyanyi tanah air berani membawakan lagunya yang berjudul Ingin Bersamamu di mana-mana pentas acara.

Syafinaz berkata, antara sebab paling utama adalah kerana lagu ciptaan Aubrey Suwito dan Tessh RS tersebut berada dalam kategori susah untuk dibawakan.

Bagaimanapun, Syafinaz memuji tindakan peserta GV, Ning Baizura, kerana mengambil inisiatif membawakan lagu tersebut di pentas separuh akhir program itu pada Ahad ini.

“Saya tiada sebarang jangkaan apabila Ning bakal membawakan lagu tersebut pada minggu ini. Secara semulajadinya, apa yang saya boleh katakan lagu itu memang sangat susah untuk dibawakan.

“Tetapi Ning seorang penyanyi berkebolehan. Dia pasti boleh bawakan lagu itu, tak patut ada masalah. Lagu itu memang mencabar namun seorang penyanyi itu harus memiliki teknik untuk menyampaikannya dengan baik.

“Lagu itu ‘simple’, tentang seorang wanita yang ingin hidup bersama kekasihnya. Tetapi, Ning dah memperlihatkan peningkatan yang baik pada setiap minggu dan rasanya dia tiada masalah bawa lagu itu,”katanya.

Syafinaz berkata demikian semasa ditemui usai program GV berlangsung di Auditorium Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini, baru-baru ini.

Selain itu, meskipun baginya lagu itu susah untuk dibawakan, Syafinaz yakin jika kena pada gaya, seseorang penyanyi itu mampu menyanyikannya dengan cara sendiri tanpa perlu mengikut lenggoknya.

“Memang saya katakan lagu itu susah dan tak ramai berani bawa. Tetapi, sebelum ini, Dayang Nurfaizah buktikannya. Saya pernah tengok dia nyanyikan lagu itu tetapi dengan versinya sendiri.

“Cara saya dengan dia berbeza. Tetapi Dayang seorang penyanyi yang berilmu. Dia dah tahu tak boleh bawa lagu itu dengan cara saya, jadi dia bawa cara sendiri.

“Bergantung kepada penyanyi itulah bagaimana dia mahu mengolahnya. Sebab itu saya yakin Ning pun boleh bawakannya. Tak kisahlah bagaimana cara tetapi asalkan ia kedengaran bagus, saya okey sahaja,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya