SHAH ALAM: Terbuka hati menceritakan pengalaman sendiri, penyanyi, Amira Othman, 32, mendedahkan pernah ‘putus cinta’ namun hubungannya dengan jejaka berkenaan hanya sempat terjalin beberapa tahun selain menyaksikan hasrat untuk ke jenjang pelakin tidak kesampaian.
Amira berkata, dia memilih untuk merahsiakan mengenai hubungan dan juga perpisahan itu sebelum ini kerana mahu hidup tenang.
“Jalan kami sudah hampir nak ke peringkat ‘halal’ tapi Allah Maha Mengetahui. Ini kali pertama saya berkongsi mengenai perjalanan cinta saya.
“Sebelum ini saya memilih untuk tidak berkongsi sebab saya mahu menghormati pihak lagi satu sebab kami ada hubungan yang baik dan kami tidak bergaduh.
“Biarlah rahsia siapa dia, saya juga risau nanti ada pelbagai pendapat kerana saya mahu hidup tenang dan saya yakin apabila perancangan saya tidak menjadi, itulah yang terbaik walaupun waktu itu mungkin saya sakit, sedih.
“Saya reda jadi saya tak mahu sebut-sebut lagi, kerana saya jenis orang yang tak mahu bercerita mengenai kehidupan peribadi saya sebab bila hubungan saya tak jadi, tak manis untuk perempuan bercerita lebih-lebih. Malah keluarga saya juga jenis yang tidak suka heboh-heboh,” katanya.
Tambah Amira, ketika dia berhadapan dengan episod putus cinta itu, dia masih boleh bekerja dan berjumpa dengan peminatnya seperti biasa.
“Saya okey dan saya terima keadaan itu, malah esoknya saya keluar bekerja seperti biasa dan berjumpa peminat seperti biasa dan senyum seperti biasa.
“Kalau saya bercerita mungkin orang akan tanya dan saya akan tambah sedih, jadi itulah hikmah saya tidak bercerita. Sebab saya rasa biarlah ‘healing process’ lebih mudah dan tenang. Cukuplah mak dan ayah saya saja yang tahu.
“Kami pun tidak bergaduh, dan tiada apa nak digaduhkan. Saya pun tidak mahu mengungkit. Itu adalah takdir, dan itulah prinsip hidup saya, saya mahu hidup tenang seperti yang anda tengok sekarang saya melalui hidup dengan aman sebab saya terima semuanya yang sudah tertulis,” katanya.
Amira berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis pelancaran koleksi Hari Raya dan pelantikannga sebagai duta Varisha di pusat beli belah Central I-City, di sini, petang tadi.
Amira turut melancarkan lagu terbaharunya yang berjudul Bila Nak Kahwin pada acara itu dan berkongsi muzik video lagunya yang turut menampilkan aktor, Fattah Amin.
“Tercetusnya idea nak buat lagu ini sebab saya selalu dapat soalan bila nak bernikah. Jadi saya tulis lagu ini untuk soalan yang juga sering saya dapat ketika buat ‘live’ di TikTok. Saya tulis lagu ini untuk suatu yang dekat dengan saya,” katanya.
Lagu Bila Nak Kahwin keluaran Sony Music Malaysia dengan kerjasama kreatif bersama Emiera Othman Ventures, dilancarkan secara rasmi pada 10 Januari lalu manakala video muziknya mula ditayangkan hari ini.
Lagu bergenre pop ini adalah hasil ciptaan Iqie Hugh dan Omar K bersama Amira sendiri.
Sementara itu, Amira menafikan kontroversi percintaannya dengan Fattah seperti yang heboh diperkatakan, baru-baru ini.
“Saya pun tak pasti, mungkin ada orang yang suka dan mungkin ada yang tak suka mengenai gimik ini, tapi saya berharap gimik kali ini tidaklah melukakan hati peminat saya kerana mengambil risiko dengan kontroversi ini. Saya ambil komen dan kritikan dengan baik dan kalau ada yang tak suka, saya minta maaf,” katanya.
Terdahulu, nama Amira disebut sebagai antara wanita yang kini berhubungan mesra dengan Fattah selepas pelakon itu bercerai dengan bekas isteri yang juga pelakon, Nur Fazura.