Perbalahan kami akibat salah faham - Ani Mayuni

Perbalahan kami akibat salah faham – Ani Mayuni

ani mayuni
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi dan pelakon, Ani Mayuni, mendedahkan, perbalahannya dengan seorang penyanyi dangdut tanah air sudah kembali jernih apabila kedua-dua mereka mengambil jalan pendekatan untuk saling bermaafan.

Menurut Ani atau nama sebenarnya, Aishah An-Nur Osman, 48, dia tidak menolak kejadian perbalahan itu berpunca daripada salah faham selain ‘dicucuk’ oleh pihak luar.

“Apa yang boleh dikatakan, kami berdua ini bukanlah bergaduh sangat, cuma salah faham.Biasalah macam adik-beradik bergaduh, kadangkala ada terasa hati sikit.

“Mungkin silapnya terlalu dengar cakap orang padahal boleh sahaja kami berbincang secara bersemuka.

“Walaupun awalnya sedikit tegang, tetapi alhamdulillah selepas masing-masing berjumpa, kami sudah saling bermaafan. Selepas dapat semua penjelasan, saya tidak langsung simpan apa-apa perasaan dendam atau marah,”katanya.

Ani berkata demikian ketika ditemui di majlis ‘review’ ramadan buffet Selera Bonda yang berlangsung di St.Giles Boulevard, di sini, semalam.

Selain itu, Ani mengakui tidak marah dengan penyanyi dangdut terbabit selain enggan mengenang lagi kejadian tersebut.

Malah, bagi penyanyi lagu Sedap dan Buaya Cinta ini berkata, dia berasa sedih ketika hubungannya dengan penyanyi dangdut tersebut menjadi dingin gara-gara perselisihan faham sebelum ini.

“Kami berjumpa dan meluahkan segalanya. Jujur saya kata, sangat sedih kalau bergaduh dengan kawan-kawan yang sudah anggap macam adik-beradik.

“Saya juga sudah melupakan perkara itu dan tak mahu ingat lagi. Hubungan kami baik, saya tegur dan mesej dia macam biasa.

“Saya adalah jenis yang tidak suka marah atau membesarkan sesuatu isu, cuma jangan sentuh keluarga saya. Dia tahu saya ini orang yang macam mana, memang tak suka bergaduh,”katanya.

Dalam perkembangan lain, Ani bakal bergandingan dengan selebriti versatil, Kelly Azman untuk menghiburkan tetamu yang hadir berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan di hotel tersebut.

Selera Bonda buffet dinner menawarkan harga berpatutan iaitu untuk dewasa RM118 dan kanak-kanak, RM 59.

Bagi ‘early bird’, anda akan ditawarkan harga RM85 jika membuat tempahan sebelum 4 Mac. Untuk menempah, sila hubungi 012-4008691 (Anis).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN