Orang yang tak faham akan kata saya ini garang dan cerewet - Rita Rudaini - Utusan Malaysia

Orang yang tak faham akan kata saya ini garang dan cerewet – Rita Rudaini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon, Rita Rudaini, mengakui dirinya sentiasa mengutamakan kepentingan menjaga adab dalam mendidik dua anaknya, Airit Rayyan Rizqin, 16, dan Airit Qaqa Arjuna, 14.

Menurut Rita, ini kerana sebagai ibu tunggal, cabarannya tidak mudah dalam membesarkan anak-anak sekali gus menimbulkan kekhuatiran seandainya dia tidak mampu mendidik anak dengan baik dan sempurna.

“Mommy setiap minit selagi boleh akan ingatkan dan tegur dah solat belum? Dah salam orang belum? Senyum tak tadi dengan orang itu? Dah mesej atau call beri ucapan? Dah itu dah ini?

“Itu tanda sayang mommy, orang yang tak faham akan nampak saya garang, cerewet, biarlah hanya saya sorang sahaja yang faham.

“Mendidik anak-anak sebagai seorang ibu tunggal ini umpama kerja ‘double triple’ kerana saya sedar saya bukan ibu yang sempurna,”katanya dalam satu hantaran di Instagram.

Selain itu, kata Rita, dia juga percaya bahawa doa sahaja tidak mencukupi seandainya tidak disertakan dengan daya usaha dalam mendidik anak-anak.

“Doa sahaja tidak cukup kalau tiada daya usaha. Semua orang sayang anak tapi tak semua orang faham dan tahu macam mana nak sayang dengan cara yang betul

“Kalau saya kejam dengan cara didikan, mungkin anak-anak saya dah lama memberontak. Saya ajar mereka hormat, bukan takut dengan saya.

“Hormat dan takut itu beza. Saya masih belajar didik diri sendiri sambil terapkan pada anak-anak,”katanya.

Dalam masa yang sama, kata Rita, dia bersyukur kerana dua anak lelakinya itu membesar dengan baik dan mengamalkan sikap jujur sebagaimana didikan yang telah diterapkan.

“Alhamdulillah setakat ini, kalau saya di luar, anak saya di rumah, mereka akan telefon mohon izin untuk main game.

“Sebenarnya, mereka boleh sahaja main sebab saya bukan nampak pun. Sebab dari dulu pesan pada mereka, jujur itu penting.

“Nampak macam rumit bukan? Tapi itulah adab, anak-anak ini kena tegur itu ini dari kecil sebenarnya. Kalau dah besar mereka ada pemikiran sendiri memang tak akan dengar lagi.

“Perjalanan saya pun masih panjang dan jauh dalam mendidik anak-anak cuma sedikit perkongsian yang tak seberapa tetapi ada ‘hasil’. Insya-Allah, doakan saya,” tulisnya lagi.

Terdahulu, anaknya iaitu Rayyan mencuri tumpuan apabila berjaya memecahkan rekod dalam acara 100 meter (m) dan 200m di Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Sabak Bernam pada Ogos tahun lalu.

Malah Rayyan juga berjaya menerima Anugerah Penghormatan Pengetua sekali lagi di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sungai Besar hasil daripada keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Rayyan meraih keputusan membanggakan iaitu ‘Cumulative Gred Point Average’ (CGPA) sebanyak 3.842.

Selain itu, Rita juga pernah menerima Anugerah Ibu Ikon Malaysia 2024/2025 bersempena Anugerah Wanita Ikon Malaysia 2024/2025.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya