WANGSA MAJU : Biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 46, tidak menafikan masih menyimpan hasrat berkunjung ke Gaza bertemu guru dan pelajar Sekolah Afwa Al-Aafiyah sekiranya keadaan di sana sudah aman.
Siti berkata, selagi gencatan senjata belum benar- benar berlaku yang menandakan keamanan diharapkan seluruh dunia tidak memungkinnya untuk ke sana buat masa ini.
“Memang saya ada hajat menyantuni guru dan pelajar sekolah yang ditubuhkan Yayasan Nurjiwa di Gaza. Selama ini saya hanya berhubung dengan Dr Mohanad yang membantu menguruskan hal ehwal 100 murid dan lapan guru di sana.
“Sekolah itu juga mempunyai beberapa sukarelawan yang banyak membantu melancarkan urusan kerana sepanjang tempoh peperangan ini mereka telah berpindah beberapa kali ke lokasi selamat.
“Terkini, saya dimaklumkan warga sekolah Afwa Al-Aafiyah semuanya selamat berada di Khan Yunis. Kita sama-sama doakan pergolakan di bumi Gaza dapat dihentikan menerusi gencatan senjata yang ditunggu-tunggu,”katanya.
Siti berkata demikian semasa ditemui pada Majlis Menandatangani Kontrak Umairah Sebagai Artis Di Bawah Naungan Syarikat Siti Nurhaliza Legacy (SNL), semalam.
Selain itu, Siti berkata, rancangan untuk membangunkan kembali sekolah tersebut masih belum boleh diteruskan sehingga keadaan benar-benar terkawal.
“Buat masa ini kami di Yayasan Nurjiwa masih lagi meneruskan bantuan kepada penghuni sekolah termasuk keperluan pakaian musim sejuk dan makanan seperti biasa.
“Untuk musim sejuk ini mereka perlukan pakaian tebal dan makanan. Bagaimanapun sekolah masih belum beroperasi sepenuhnya.
“Pengajian masih berjalan seperti biasa di kem sementara. Insya-Allah, kita akan bina semula sekolah itu, tiada masalah,”katanya.
Pada masa yang sama, Siti juga mengagumi semangat penduduk Gaza yang tetap mengharungi kehidupan mereka meskipun dalam keadaan sukar.
“Mereka sudah cakap, walau berapa kali pun mereka dibom, mereka tetap akan bangkit dan bangun semula. Kita akan sokong,”katanya.
Sementara itu, mengenai pemilihan Umairah yang juga anak saudaranya sebagai artis pertama di bawah naungan SNL, Siti menegaskan kriteria utama adalah vokal serta bakat.
Namun, katanya, status sebagai darah daging sendiri itu sebagai satu bonus yang memudahkan mereka untuk bekerjasama.
“Saya sudah melihat transisi Umairah dari kecil sehingga sekarang. Memang ada yang bertanya kenapa tidak mengambilnya sejak dari awal?
“Saya nak lihat dulu kesungguhan dan Umairah dapat membuktikannya menerusi kejuaraan yang dirangkulnya dalam pertandingan di Wcopa.
“Bukan senang nak jadi artis rakaman. Macam saya dulu, tak berpeluang untuk belajar secara formal, tak ada kelas vokal secara profesional. Umairah bertuah kerana di usianya dia dapat meraih banyak input dan ilmu muzik,”katanya.