WANGSA MAJU: Hampir tidak menyertai World Championship Of performing Arts (WCOPA) 2024, penyanyi remaja, Ummi Umairah,14, berterima kasih kepada ibu saudaranya, Datuk Seri Siti Nurhaliza kerana telah menyuntik dana bagi membolehkannya terbang ke Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) pada Jun tahun lalu.
Mewakili Umairah, ibunya, Siti Saerah Tarudin berkata, penyertaan anaknya itu ke pertandingan yang menghimpunkan wakil 30 buah negara itu sudah dibatalkan berikutan kos yang tinggi mencecah RM80,000.
Namun, kata Saerah, tiga minggu sebelum pertandingan berlangsung, kakaknya, Siti, telah membantu mencukupkan dana sekali gus membolekan Umairah terbang meneruskan misinya.
“Sebenarnya, kami sudah pun menghubungi penganjur untuk membatalkan penyertaan dalam pertandingan itu berikutan kos termasuk penginapan, penerbangan dan perbelanjaan lain mencecah puluhan ribu ringgit.
“Tetapi kami tidak maklumkan kepada Siti sebaliknya berusaha dulu cari sumber kewangan. Cuma malangnya, dana yang kami berjaya kumpulkan terlalu sedikit.
“Jadi, apabila Siti tahu, dia terus meminta Umairah jangan patah semangat. Bukan hanya beri sokongan moral dia juga mencukupkan kos yang boleh dikatakan agak besar jumlahnya itu.
“Kami sangat terhutang budi dan terharu kerana dengan pertolongannya Umairah dapat mengharumkan negara,”katanya.
Saerah berkata demikian semasa ditemui dpada Majlis Menandatangani Kontrak Umairah Sebagai Artis Di Bawah Naungan Syarikat Siti Nurhaliza Legacy Sdn Bhd (SNL).
Pertandingan itu yang berlangsung di California itu, Umairah membawa pulang emas dalam kategori Vokal Junior.
Sementara itu, Umairah berkata, dia berbangga dapat membuktikan kepada rakyat Malaysia dan ibu saudaranya bahawa sokongan yang diberikan tidak disia-siakan.
“Saya tahu diri ini membawa amanah banyak pihak walaupun calon lain pernah memasuki pertandingan lebih besar termasuk America’s Got Talent (AGT) tetapi saya tidak gentar.
“Pemilihan sebagai srtis pertama SNL juga merupakan satu impian saya sejak kecil kerana saya dibesarkan dengan lagu-lagu Siti sejak dari dahulu lagi.
“Justeru, ini merupakan peluang yang juga tidak akan saya sia-siakan selain akan terus menimba ilmu daripada pengalaman Mak Iti dan menerusi pengurusan SNL secara amnya,”katanya.