PETALING JAYA: Selebriti terkenal, Zizan Razak mengakui kecewa kerana kerap ditipu dalam perniagaan sehingga menyebabkan dirinya kerugian sejumlam wang yang besar.
Tidak berputus asa, Zizan atau nama lengkapnya, Mohd Razizan Abdul Razak, 41, mahu terus bangkit dalam mengusahakan perniagaannya selain menyerahkan rezeki di tangan Sang Pencipta.
“Saya dah simpan lama dah, jadi 2025 ni saya rasa masa untuk saya bercerita dengan anda semua. Apa saya dah lalui dalam perniagaan. Banyak benda yang saya mahu kongsikan tapi saya pendekkan.
“Saya kena tipu, banyaklah dalam perniagaan kalau mahu sebut nilai itu besar tapi, tidak apa saya simpan. Yang penting, saya rasa sudah buat yang terbaik dan saya tidak putus asa.
“Saya gembira tengok kawan-kawan di media sosial yang berjaya dalam perniagaan. Gembira sangat kadang saya mahu jadi macam mereka tapi rezeki itu milik Allah.
“Kalau kita usaha macam mana pun, kalau Allah tak izinkan, dia tak bagi. Tapi tidak mengapa, tahun ni saya mahu apa yang saya nak cuba buat ini menjadi, tercapai dan berjaya. Kalau tidak banyak, sikit pun tak apa,” katanya.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Bawa Aku Pergi itu meluahkan hasratnya untuk melibatkan diri dalam bidang fesyen dan bakal mengeluarkan pakaian raya seperti baju Melayu dan kurta pada tahun ini.
Katanya, perniagaannya kali ini bakal diusahakan olehnya sendiri dan berharap dapat sokongan daripada orang ramai.
“Saya mahu buat kurta dan baju Melayu. Saya akan cuba segala upaya untuk buat yang terbaik. Saya agak terperinci dengan fesyen, sentuhan, kemasan, dengan jenis kain yang ketat-ketat atas badan ini.
“Jadi saya memang lebih kepada fesyen. Jadi, tengok orang-orang buat baju sukses berjaya, gembira sangat. Saya cuba buat baju Melayu tahun ini.Tapi risau juga sebab kita tidak tahu orang di luar sana macam mana.
“Harap anda sokong saya, sokong perniagaan saya. Kalini saya buat sendiri. Saya buat bukan untuk saya saja. Saya nak anda juga handsome raya tahun ni,” jelasnya.
Diakhir perkongsian tersebut, pelawak itu kelihatan sebak dan teru menghubungi ibunya untuk memohon restu dan doa.