Kenapa perlu pelik saya cakap Bahasa Melayu? - Mek Yun - Utusan Malaysia

Kenapa perlu pelik saya cakap Bahasa Melayu? – Mek Yun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon dan selebriti media sosial, Mek Yun, 28, mengakui hairan mengapa masih ada kalangan warganet mempertikai dirinya cenderung menggunakan Bahasa Melayu ketika menghasilkan bahan kandungan di media sosial.

Menurut Mek Yun atau nama sebenarnya Wee Mun Nee, meskipun berbangsa Cina, dia tidak pernah berasa pelik menggunakan Bahasa Melayu kerana sudah terbiasa menjadikannya bahasa harian.

“Ada orang tanya saya kenapa buat bahan kandungan dalam Bahasa Melayu? Tak rasa pelik ke? Saya jawab, kenapa nak rasa pelik? Saya ini anak Malaysia dan Bahasa Melayu bukankah bahasa kita.

“Bahasa yang sudah lama menyatukan kita sebagai rakyat Malaysia. Saya juga membesar dengan jiran-jiran dan kawan-kawan berbangsa Melayu.

“Saya dengar azan waktu maghrib dan subuh, makan nasi lemak di waktu pagi, malah kadang- kadang saya cakap Bahasa Melayu dengan keluarga juga,”katanya dalam satu hantaran video di Instagram.

Selain itu, Mek Yun juga menafikan sengaja menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahan kandungan semata-mata.

“Saya cakap Bahasa Melayu bukan untuk sekadar nak buat bahan kandungan sahaja. Tetapi ia sudah jadi sebahagian daripada hidup saya. Bagi saya, bila kita cakap bahasa yang sama, kita akan jadi lebih faham dan rapat.

“Bahasa Melayu ini bukan untuk satu kaum sahaja. Tetapi milik semua rakyat Malaysia, lambang perpaduan dan bahasa kebangsaan kita.

“Jasi kalau Bahasa Melayu boleh jadi jambatan antara kita semua, kenapa perlu rasa pelik cakap dalam bahasa ini?”ujarnya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di ruangan komen turut menyaksikan ramai pengikut dan peminatnya memberi sokongan serta kata-kata positif mengenai luahan Mek Yun tersebut.

Ada antara mereka menyifatkan perkongsian Mek Yun tersebut sangat bermanfaat dan memberi kesedaran kepada orang ramai berhubung isu yang diketengahkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya