KUALA LUMPUR: Pengacara dan pelakon, Sherry Alhadad, 41, mengakui tidak kisah bertemu jodoh dengan jejaka berstatus duda namun tidak terhadap lelaki bergelar suami orang.
Menurut Sherry atau nama sebenarnya, Shariffah Mariam Syed Abdullah, dia tidak mempunyai masalah berkenalan atau dijodohkan dengan lelaki bergelar duda apatah lagi yang mempunyai anak kerana sukakan kanak-kanak.
“Seboleh-bolehnya saya elak suami orang tetapi jika duda, tiada masalah.
“Kalau ada anak pun saya okey. Saya suka budak-budak. Saya pun sudah berumur, jadi, jika dia ada anak lebih bagus.
“Tetapi setakat ini, saya masih belum ada calon. Mungkin lelaki takut hendak dekat kerana fikir saya dominan dan ‘maintenance’ (kos sara diri) tinggi,” katanya ditemui pada sidang media pengumuman Top 5 Gempak Most Wanted Award (GMWA) di ibu kota, baru-baru ini.
Sherry berkata, mungkin sikapnya yang ceria dan bertenaga, selain kerjaya sebagai selebriti menyebabkan lelaki bimbang mendekati dirinya.
“Saya tidak kisah jika pendapatan lelaki itu kurang daripada saya. Saya orang biasa, cuma pekerjaan saya di depan televisyen (TV) menyebabkan saya tampak glamor.
“Saya manusia normal macam orang lain,” katanya.
Selain itu, Sherry juga percaya kemungkinan jodoh sukar ‘melekat’ kerana dirinya bertemu dengan kenalan dalam industri sama.
“Saya sudah kaji kenapa. Saya jumpa orang yang sama. Saya pula tidak suka main media sosial kerana lebih suka bertemu depan-depan,” katanya.