KUALA LUMPUR: Anggota kumpulan One Nation Emcees, Jojo atau nama sebenarnya Nur Hasan Balas disahkan telah meninggal dunia pada pagi tadi dipercayai akibat serangan jantung.
Khabar duka itu dikongsi rakannya, penyanyi Mimy Fly yang memaklumkan Jojo meninggal dunia selepas rebah di dalam masjid.
“Dia memang pernah mengalami strok beberapa bulan lepas. Saya dapat tahu dia tiba-tiba rebah di masjid ketika perjumpaan kumpulan tabligh.
“Saya pun dapat panggilan telefon daripada isterinya yang berada di Taiping. Saya tidak tahu lagi secara terperinci,” katanya.
Dalam pada itu, Mimi berkata meskipun sudah lama tidak berjumpa namun mereka masih kerap berhubung malah merancang untuk bertemu dalam masa terdekat.
Malah, Mimi atau Shamimi Amalina Norhisham, 39, juga menyifatkan Allahyarham Jojo seorang sahabat yang baik.
“Dua hari lepas kami baru berhubung dan ada perancangan untuk melakukan bisnes raya bersama.
“Jojo ini baik orangnya, saya dah lama tak jumpa dia. Kami hanya berhubung menerusi panggilan telefon kerana dia menetap di Taiping, Perak,” katanya.