Kuala Lumpur: Jendela 2025 memberi sinar indah buat penerbit, komposer dan pemain gitar kumpulan rock popular Barbarik, JoBranko apabila mendapat tawaran untuk menerbitkan album sebuah kumpulan rock di London, England.
Menurut JoBranko, pada awalnya ketika dihubungi, dia sendiri berasa was-was dengan tawaran tersebut memandangkan scene muzik di barat lebih luas dan terbuka berbanding di negara kita.
Namun setelah diselidik, barulah dia mengetahui yang mana sebelum ini mereka telah mendengar album ‘Peluru Cokelat’ seterusnya menyuarakan minat untuk mendapatkan khidmatnya sebagai penerbit album mereka.
Walaupun kumpulan rock yang dikenali dengan nama Trinity ini masih belum mempunyai album studio, namun mereka cukup terkenal di kota London kerana sering mengadakan persembahan dalam gig-gig yang dianjurkan.
“Sebelum bersetuju dengan tawaran tersebut saya ada bertanya kepada mereka kenapa memilih saya sedangkan banyak lagi individu dan kumpulan yang terkenal di luar sana yang boleh dijadikan influence, namun mereka beri jawapan munasabah iaitu inginkan kelainan,”
“Mereka beritahu susah untuk mendapatkan orginality dan touching dalam pembikinan album kerana sudah sebati dengan konsep muzik Led Zeppelin, Iron Maiden, AC/DC, Whitesnake, dan lain-lain lagi yang sering dibawa dalam show-show sebelum ini.” ujarnya.
Menurut JoBranko, kumpulan Trinity mengenali Barbarik melalui salah seorang rakan mereka yang juga rakyat Malaysia yang menetap di sana. Mereka mendengar lagu-lagu Barbarik dan seterusnya menyemak latar belakangnya.
Setelah mengetahui dia merupakan salah seorang bekas anggota kumpulan Wings dan banyak mencipta lagu serta menerbitkan album penyanyi di Malaysia, mereka tidak mengambil masa lama untuk ‘melamarnya’ sebelum menguruskan tiket perjalanan serta penginapan mereka di London.
“Selain membantu untuk menerbitkan album, saya juga ingin lihat mereka perform. Jadi saya boleh lihat dan nilai di mana kekuatan mereka dalam konsep muzik yang ingin diketengahkan. Mungkin saya akan mix dengan pengaruh muzik nusantara kita, melalui suntikan elemen tertentu,”
“Ideanya sudah ada dalam kepala, cuma perlu ruang untuk lihat kesesuaian tersebut. Saya juga ada buat sebuah lagu khas untuk mereka, perlu lihat nanti sama ada bersesuaian atau tidak,”
“Bagi saya ini merupakan penghargaan buat Barbarik. Bukan mudah untuk band luar inginkan khidmat kita, jadi bila diberi peluang sebegini pastinya satu penghormatan buat kami,” katanya.
Ketika berada di London JoBranko juga akan bertemu dan mengadakan perbincangan dengan syarikat MNBA Entertainment UK Ltd, yang menyatakan minat untuk menerbitkan lagu Barbarik dalam versi bahasa inggeris.
Jika menjadi kenyataan, mereka akan merakamkan tiga buah lagu Barbarik iaitu Peluru Cokelat, Didakap Pesona dan Keris Tak Bersarung.
“Jika semua yang dirancang berjalan lancar, kami akan mencari penulis lirik yang sesuai dan akan ke sana sekali lagi untuk merakamkan lagu-lagu tersebut,”
“Jika tiada aral melintang pada sabtu ini saya dan Muss akan mengadakan persembahan akustik khas untuk penuntut dan rakyat Malaysia di Chempaka Kensington, London, dan kalau bernasib baik mungkin boleh perform di depan YAB Perdana Menteri sekali, kebetulan Datuk Seri Anwar juga berada di London ketika ini,” ujarnya tertawa.
JoBranko yang berlepas ke London malam kelmarin turut ditemani pengurusnya, Noh Rahman dan penyanyi Barbarik, Muss.