SHAH ALAM : Penyanyi, Arrora Salwa, 39, mengakui tidak melenting apabila namanya dikaitkan segelintir pihak yang mendakwa dirinya mengamalkan sihir ketika bersaing di dalam program realiti Gegar Vaganza 11 (GV11).
Menurut Arrora atau nama sebenarnya, Salwa Md Razak, dia menganggap perkara itu satu dakwaan tidak berasas dan berikutan itu memilih untuk bertenang berbanding melenting tanpa tujuan.
“Saya tidak tahu bagaimana isu itu boleh timbul. Tapi beginilah, apa yang boleh saya cakap, kalau saya seorang manusia yang amalkan ‘mandrem’, saya tak pernah ada dalam kedudukan lima teratas dalam GV11.
“Cuma satu saja yang saya nak pesan. Kepada sesiapa yang menimbulkan cerita ini, terima kasih sangat sebab pahala percuma awak mengalirkan kepada saya. Jadi terpulanglah.
“Antara dia dengan saya, saya tak nak tahu siapa mula timbulkan mengenai perkara itu. Tetapi itu hal antaranya dengan Dia, biarlah. Saya okay saja, tak mengapa,” katanya.
Penyanyi yang popular menerusi lagu Ahmad itu berkata demikian ketika ditemui sejurus saingan minggu ke tujuh GV11 di Auditorium MBSA Shah Alam, semalam.
Bagaimanapun, tambah Arrora, dia mengakui sudah mendapatkan nasihat peguam susulan dakwaan yang bertebaran.
“Orang sampai-sampaikan malah dekat ruangan komen pun ada juga. Biarkan sajalah. Lepas tu saya cakap kalau pakai ‘mak esah’ sekalipun, tak kan lah asyik dapat markah rendah sahaja. Sekurang-kurangnya biarlah di kedudukan lima dan ke atas atau baik nombor satu terus. Kekal nombor satu sampailah habis pertandingan.
“Cuma seperti yang sudah saya jelaskan sebelum ini, selagi ia tidak mengganggu nama baik saya dan keluarga, okay lagi. Saya ada juga rujuk dan berbincang juga isu ini dengan peguam. Nasihatnya sebagai ‘public figure’, selalunya benda-benda macam ni memang boleh berlaku.
“Selagi ia tidak mengganggu nama baik kita tenang sahaja dulu. Tetapi kalau ada apa-apa, maklumkan mengenai perkara itu kepadanya, saling pantau dan akan ambil maklum.
“Setakat ini saya okay sahaja, anggap ia sebagai hiburan. Bak kata Tok Ram (Ramli MS), ‘tin kosong’ jangan dilayan. Jadi itulah yang saya pegang,” katanya lagi.
Terdahulu, Arrora memuat naik sepotong video di media sosial yang memaparkan dirinya lalu di bawah ampaian sebagai reaksi balas terhadap dakwaan khabar angin sebelum ini yang kononya dia ada menggunakan ‘mandrem’ atau ‘mak esah’ di GV11.