KUALA LUMPUR : Selepas 16 tahun membina rumah tangga bersama, pelakon antarabangsa, Jessica Alba dan suaminya, penerbit filem, Cash Warren, memilih jalan untuk berpisah.
Difahamkan, berita mengenai perpisahan itu muncul beberapa hari selepas pelakon filem Honey itu berkongsi sekeping gambar di media sosial yang memaparkan kemesraannya bersama keluarga termasuk tiga orang anak mereka, Honor, 16, Haven, 13 dan Hayes,7.
Menerusi gambar tersebut, peminat dan pengikut juga menyedari bahawa Jessica tidak lagi memakai cincin perkahwinan di jarinya termasuk menerusi bukti pada sekeping gambar di malam sambutan tahun baharu baru-baru ini yang juga menyaksikan ketiadaan Cash di sisi.
Pasangan ini mula menjalin hubungan cinta sewaktu menjalani penggambaran filem Fantastic Four pada tahun 2004.
Selepas empat tahun berkenalan, kedua-duanya memilih untuk berkahwin dengan majlis diadakan di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Dalam pada itu, setakat ini tiada sebarang kenyataan dikeluarkan sama ada oleh Jessica atau pun Cash.