SEBANYAK 10 selebriti dipilih menjadi wajah Jakel sempena kempen Raya Mendonia Bersama Jakel 2025.
Selain gandingan Fattah Amin dan Amira Othman, antara selebriti lain yang turut dipilih mewakili Jakel pada tahun ini adalah Nabil Ahmad , Cik Epal, Elly Mazlein, Anzalna, Senariounion, Sallywho dan Upin & Ipin.
Berkongsi mengenai pemilihan duta Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata berbeza dari tahun sebelumnya, kali ini dia yakin dengan kekuatan populariti yang dibawa setiap duta Jakel pada tahun ini.
“Mereka dipilih bagi mewakili pelbagai lapisan pelanggan Jakel. Saya yakin dengan kekuatan populariti mereka akan membantu jualan pada tahun ini.
“Saya juga yakin dengan komitmen yang akan diberikan setiap selebriti ini dalam memeriahkan kempen Raya Mendonia Bersama Jakel 2025,”katanya.
Sementara itu, menurut Nabil sebagai duta paling lama dia sangat bersyukur dengan peluang untuk mewakili jenama yang sama selama 10 tahun.
Selain mempunyai hubungan yang baik jelasnya faktor utama kesetiaan dia untuk terus memilih mewakili Jakel pada tahun ini adalah disebabkan sudah sinonim dengan jenama ini.
“Sama seperti tahun- tahun sebelum ini memang ada yang menawarkan saya untuk mewakili jenama baju melayu lain. Tetapi saya tolak sebab seperti yang saya katakan sebelum ini saya tidak terfikir untuk meninggalkan Jakel.
“Lebih manis tahun ini satu keluarga saya juga dipilih untuk mewakili Jakel. Jadi memang saya sangat bersyukur,”katanya.
Turut menjadi perhatian pada majlis pengumuman duta kempen Raya Mendonia Bersama Jakel 2025 semalam pastinya kehadiran gandingan Fattah Amin dan Amira Othman.
Selepas menyangkal dakwaan kononnya mereka menjalinkan hubungan istimewa pasti kerjasama ini sekali lagi mengundang pertanyaan peminat.
Menjelaskan persetujuan gandingan, jelas Fattah ini adalah sebahagian daripada tugas mereka sebagai duta.
Tidak kisah dengan kata-kata netizen di luar sana tambahnya fokusnya kini hanya untuk mempromosikan pakaian di Jakel.
“Jakel ambil kami sebagai wajah mereka dan kami bantu mempromosi produk. Apabila mereka bersetuju menggandingkan saya bersama Amira, itu menunjukkan kepercayaan.
“Kalau perkara itu beri impak positif kepada pihak yang mengambil dan mempercayai kami, saya fikir tiada masalah untuk teruskan kerjasama kami berdua,” katanya selepas pengumuman Duta Jakel 2025 di Jakel Mall di sini, semalam.