Insiden itu tinggalkan parut di hati, anak autisme saya dimaki macam halau anjing - Edry - Utusan Malaysia

Insiden itu tinggalkan parut di hati, anak autisme saya dimaki macam halau anjing – Edry

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Komposer dan anggota kumpulan KRU, Edry Abdul Halim, mengakui insiden anak autismenya, Emery, 17, dimarahi dan menerima layanan kasar daripada pekerja sebuah restoran baru-baru ini telah meninggalkan parut mendalam di hatinya.

Menurut Edry, perkara itu terpaksa didedahkan kepada umum kerana mahu memberi pengajaran dan kesedaran mengenai isu autisme yang baginya masih belum benar-benar cakna di kalangan masyarakat tempatan.

“Insiden anak saya dimarahi dan dilayanan kasar oleh pekerja restoran itu meski hanya berlaku dua minit tapi parut dan kenangan seperti sepanjang hayat. Hanya kerana anak autisme saya nak minum air.

“Masyarakat kita juga kadang-kadang kurang peka kepada golongan istimewa ini.Tujuan saya bukanlah nak memalukan kakitangan atau tularkan kedai itu. Untuk melihat seseorang kena maki macam halau anjing, bagi saya ia bukanlah layanan yang sesuai untuk golongan istimewa ini,” katanya.

Edry berkata demikian ketika ditemui pada majlis apresiasi media dan pengumuman istimewa Konsert GenKRU yang berlangsung di sebuah hotel di sini, kelmarin.

Tambah Edry, dia juga hairan mengapa golongan ibu bapa yang memiliki anak istimewa ini seringkali terpaksa meminta maaf kepada orang terlebih dahulu hanya kerana bimbang anak istimewa mereka melakukan kesalahan bila di luar rumah.

“Tapi berapa kali nak minta maaf kerana saya mahu anak istimewa saya hidup macam orang biasa pergi kedai dan minum air.

“Saya bukannya nak marah tapi saya mohon kalau nampak golongan istimewa ini berilah mereka ruang sikit.

“Ia berbeza di luar negara. Ketika saya dan isteri naik tram di Manchester, Emery pula buat perangai dan ada seorang pakcik datang dan marah pada saya supaya jangan berkasar pada anak kami itu,” katanya.

Terdahulu, Edry melalui entri berbentuk video di Instagram (IG) memohon orang ramai memberi ruang untuk golongan istimewa menikmati kehidupan normal kerana ada kala mereka bertindak di luar kawalan tanpa mengetahui apa dilakukan sebenarnya salah.

Untuk rekod, Edry mendirikan rumah tangga bersama Milia Mohammed pada November 1999 dan dikurniakan empat anak iaitu Emil, 24; Edylia, 21; Emery, 17, dan Elya, 14.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya