KUALA LUMPUR : Selebriti media sosial, Caprice memaklumkan, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah membuat keputusan untuk menarik balik injuksi interim yang menghalangnya mengeluarkan kenyataan mencemarkan reputasi dan berbentuk ugutan terhadap pendakwah Ebit Lew.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Caprice kini dibenarkan berkongsi sebarang berita mengenai Ebit.
Di samping itu, Ebit juga diperintahkan membayar sejumlah wang kepada Caprice.
“Hari ini kita menang di Mahkamah Tinggi untuk lawan injuksi interim kes Ebit Lew.
“Pihak sana kena bayar kepada kami sejumlah wang dan kami sekali lagi dibenarkan untuk berkongsi mana-mana berita mengenai Ebit Lew.
“Ramai tanya kenapa Cap tiba-tiba lama senyap? Sebab pihak sana pasang injunksi interim agar saya tak dapat petik nama dia atau cover berita mengenainya. Tapi hari ni kita menang. Syukur Alhamdulillah,”katanya.
Berbicara lebih lanjut, Caprice menjelaskan sebelum ini dia terpaksa berdiam diri daripada mengulas isu membabitkan Ebit kerana terikat dengan injuksi dikeluarkan pihak mahkamah.
Terdahulu, Mahkamah Sesyen Shah Alam mengeluarkan perintah injuksi interim terhadap Caprice bagi menghalang dia dan pempengaruh media sosial The Mondy Tattoo daripada mengeluarkan kenyataan mencemarkan reputasi dan berbentuk ugutan terhadap Ebit.