Ini Anugerah Golden Globe pertama saya sejak 45 tahun - Demi Moore - Utusan Malaysia

Ini Anugerah Golden Globe pertama saya sejak 45 tahun – Demi Moore

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES : Pelakon, Demi Moore, mencipta kejutan apabila akhirnya mampu merangkul trofi pertama untuk anugerah berprestij Golden Globe sempena penganjuran kali ke-82 di Hotel Beverly Hilton, pagi tadi.

Demi yang berusia 62 tahun, meraih trofi itu menerusi persembahan mengagumkannya menerusi watak Elisabeth Sparkle dalam naskhah berjudul The Substance.

Ketika menerima anugerah di pentas, Demi berkata, dia tidak pernah menjangkakan kemenangan tersebut apatah lagi sejak 45 tahun berkecimpung dalam industri seni antarabangsa.

“Saya benar-benar tidak menjangkakan kemenangan ini. Sepanjang membina kerjaya dalam bidang seni dalam tempoh 45 tahun ini, saya pernah tercalon sebanyak tiga kali untuk Anugerah Golden Globe dan ini adalah kemenangan anugerah berprestij pertama saya,”katanya.

Mengenang pengalaman, Demi berkata, sewaktu mula melangkah masuk ke dalam industri seni lakon, dia pernah dilabel sebagai sekadar artis ‘popcorn’ oleh seorang penerbit.

“Saya masih ingat, 30 tahun lalu, seorang penerbit pernah menggelar saya aktres ‘popcorn’. Ketika itu, saya rasa anugerah tidak layak untuk saya.

“Saya percaya pada perkara itu dan ia sudah lama ‘berkarat’ dalam fikiran sehinggakan saya sudah sebati dengan tanggapan itu. Saya fikir, mungkin kerjaya sudah tamat, saya sudah lakukan apa yang sepatutnya dilakukan.

“Namun, semasa saya berada di titik terendah, tiba-tiba skrip yang saya sifatkan sebagai satu magis, berani dan di luar kotak berjudul The Substance ini muncul di tangan saya. Alam seakan mengatakan bahawa tugas saya sebagai pelakon masih belum selesai,”katanya.

Meluahkan rasa gembira dan berterima kasih dengan pengara filem tersebut iaitu Coralie Fargeat dan pelakon, Margaret Qualley, Demi juga terharu kerana banyak pihak masih meletakkan kepercayaan pada bakat seni lakonnya.

Dalam pada itu, Demi juga sempat menitipkan kata semangat buat semua pihak supaya tidak mudah berputus asa dengan usaha dan bakat masing-masing.

“Ketika kita merasakan diri tidak cukup bijak, tidak cukup cantik atau tidak cukup kurus untuk sukses atau hanya memikirkan diri serba kekurangan, saya ingat pesan seorang individu ini kepada saya.

“Katanya, kita ini tidak akan pernah cukup. Tetapi anda akan tahu nilai diri jika anda turunkan kayu pengukur yang menilai anda itu ke bawah.

“Jadi, hari ini saya akan raikan kejayaan ini sepenuhnya atas rasa cinta dan jadikan ia sebagai hadiah kerana saya telah lakukan sesuatu yang saya cintai dan mengingatkan diri bahawa bakat saya masih dihargai,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya