KUALA LUMPUR : Menamatkan penantian peminat, Entertainment Icon mengumumkan penambahan hari ketiga penganjuran Konsert Genkru pada 10 Mei ini.
Menurut pengasasnya, Iman Tang, keputusan itu dibuat setelah mendapat begitu banyak pertanyaan dan permintaan daripada peminat yang tidak berpuas hati gara-gara jualan tiket laku keras dalam tempoh 45 minit semasa pengumuman hari kedua konsert dibuat sebelum ini.
“Setelah membuat pertimbangan, kami dengan persetujuan Norman, Edry dan Yusry, sepakat untuk memenuhi hajat peminat tegar yang terlepas mendapatkan tiket pada konsert hari pertama dan kedua yang dijadualkan pada 3 dan 4 Mei.
“Kami tidak menyangka sambutan sangat luar biasa dengan pertanyaan yang tidak pernah putus di media sosial. Ia sekali gus membuatkan Icon Entertainment dan KRU mahu menunaikan impian peminat yang tewas berperang untuk membeli tiket.
“Dengan pertimbangan dan cukup berhati-hati selain persetujuan daripada trio bersaidara itu, maka 10 Mei 2025 dipilih sebagai tarikh sesuai bagi penganjuran konsert hari ketiga iaitu selang seminggu selepas malam pertama dan kedua,”katanya.
Iman berkata demikan semasa ditemui pada majlis pengumuman khas yang diadakan di Hotel Mandarin, di ibu negara, hari ini.
Selain itu, Iman berkata, keputusan ini bukan bersifat oportunis sebaliknya membuktikan pemuzik tempatan turut mempunyai pengaruh dan kuasa besar terhadap pasaran.
“Keputusan ini menjadikan konsert Genkru tiga hari juga merupakan sejarah baharu yang wajar dibanggakan bintang tempatan apabila kebanyakkannya hanya mengadakan konsert selama dua hari.
“Konsert berskala mega untuk tiga malam ini merupakan satu penghormatan buat setis tempatan kita,”katanya.
Terdahulu, kali terakhir, KRU yang dianggotai oleh Datuk Norman, Datuk Yusry dan Edry beraksi di pentas mega adalah di Istana Budaya pada 2018 yang juga berlangsung selama tiga hari.
Pada awalnya, Icon Entertainment sebagai penganjur hanya merancang untuk merealisasikan konsert Genkru cuma untuk satu malam.
Namun, apabila tiket untuk konsert di Axiata Arena Bukit Jalil itu habis disambar dalam tempoh sejam, pihaknya menambah lagi satu persembahan pada keesokan harinya.
Sekali lagi, tiket untuk jualan malam kedua di lokasi sama laku keras dalam tempoh 45 minit mendorong penganjur untuk menambah persembahan pada malam ketiga.
Penganjuran Konsert GENKRU di Axiata Arena yang bakal berlansung pada 3, 4 dan 10
MEl 2024 ini menyaksikan penampilan sulung KRU selepas enam tahun.
Tiket untuk Konsert GENKRU boleh didapati melalui laman www.ticket2u.com.my/kru3 harga bermula dengan kategori dan harga: reKRUed – RM258, Canggih – RM358, Relax
– RM478, Kaset – RM508, KRUjaan – RM548 dan KRUnisme – RM588.
Untuk pemegang kad Maybank (MAYBANK CARDMEMBERS), pra-jualan tiket dibuka pada 7 Januari 2025 (Selasa sahaja) dari pukul 11 pagi.
Tiket untuk umum pula akan mula dijual pada hari Rabu, 8 Januari 2025, pada pukul 3 petang.