SHAH ALAM : Berbaki dua minggu lagi untuk ke pentas akhir, perjuangan penyanyi, Fairuz Selamat bagaimanapun menemui titik noktah apabila diumumkan sebagai peserta tersingkir pada minggu 10 program Gegar Vaganza (GV) 2024 malam tadi.
Persembahan Fairuz menerusi lagu Hang Pi Mana nyanyian asal Khalifah dan Yang Penting Hepi nyanyian asal Jamal Mirdad gagal menambat perhatian juri.
Menerusi ucapannya di pentas, Fairuz, meletakkan kepercayaan bahawa setiap kejayaan mahu pun kegagalan semuanya adalah ketentuan Allah.
“Saya percaya pada kuasa Allah. Kalau saya selamat atau berjaya semuanya kerana Dia. Kalau saya terkeluar pun semuanya kerana atas izin-Nya.
“Apa yang boleh saya katakan, saya telah mencuba dan lakukan yang terbaik untuk pentas GV. Terima kasih buat semua yang menyokong. Terima kasih juga pada juri-juri,”katanya.
Sementara itu, kemenangan tempat pertama pada minggu ini berpihak kepada Zehra Zambri yang membawakan lagu Peronda Jaket Biru (Wings) dan Selamat Jalan Romeo nyanyian asal Ramlah Ram.
Zehra juga membawa pulang Anugerah Terpaling Adabi termasuk wang tunai berjumlah RM2,000.
Menyusul di tangga kedua ialah, Liza Aziz yang menyanyikan lagu Usang nyanyian asal Rahim Maarof dan Ikan Dalam Kolam nyanyian asal Hussein Bawafie sebelum diikuti oleh kumpulan The Lima di tempat ketiga.
Sebelum itu, The Lima diumumkan sebagai pemenang Ikon Super Lit CelcomDigi manakala Fairuz Selamat dipilih menjadi Bintang Cuckoo Paling Gempak mengikut undian peminat.
Tema pada minggu hadapan pula menyaksikan setiap peserta menbawa lagu berentak rancak dan balada mengikut tema Separuh Akhir.
GV11 menampilkan barisan juri profesional Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat serta dikemudikan oleh dua pengacara popular Nabil Ahmad serta Sherry Alhadad yang menggantikan Jihan Muse.