LOS ANGELES : Anugerah Golden Globe kali ke-82 menyaksikan kemenangan besar berpihak kepada tiga buah filem hebat iaitu The Brutalist, Emilia Perez dan Shogun sekali gus menyaksikan permulaan tahun baru yang meriah dalam industri seni Hollywood.
Filem epik bajet rendah, The Brutalist meraih tiga trofi iaitu Filem Terbaik Kategori Drama, Pelakon Lelaki Terbaik menerusi watak yang dimainkan oleh Adrien Brody dan Pengarah Terbaik untuk Brady Corbet.
Menurut Brady, kekalahannya pada pencalonan Golden Globe sebelum ini menerusi filem The Pianist seakan berupaya ditebus menerusi kemenangannya pada kali ini selain menyifatkan filem The Brutalist sebagai sebuah cerita tentang kemampuan manusia untuk mencipta.
Pada masa yang sama, Brady juga menaruh harapan bahawa filem ini mampu memberi inspirasi kepada mereka yang merupakan imigran.
Selain itu, filem muzikal Emilia Pérez yang mendapat banyak pencalonan pada majlis kali ini dilihat membawa pulang empat trofi sekali gus menepati ramalan ramai.
Kemenangan Emilia Perez adalah menerusi kategori Filem Terbaik Muzikal atau Komedi, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Zoe Saldana), Filem Bahasa Asing Terbaik dan runut bunyi, El Mal diumum Lagu Terbaik.
Pengarah filem terbabit, Jacques Audiard ketika berucap berkata, naskhah ini adalah dedikasi buat semua kaum wanita di seluruh dunia.
“Saya tiada adik perempuan, jadi mungkin ini sebabnya saya membuat filem tentang persaudaraan. Jika lebih ramai adik perempuan di dunia, mungkin dunia ini akan menjadi tempat yang lebih baik,”katanya.
Terdapat juga kejutan dalam kategori Pelakon Wanita Drama yang menyaksikan bintang Brazil Fernanda Torres memenangi anugerah itu sekali gus menewaskan aktres Nicole Kidman, Angelina Jolie dan Kate Winslet melalui lakonanya dalam drama itu yang berasaskan fakta dari tahun 70-an.
Fernanda mendedikasikan anugerah tersebut kepada ibunya, pelakon Fernanda Montenegro, yang dicalonkan di Golden Globes 25 tahun lalu untuk peranannya dalam Central Station.
Sementara itu, Demi Moore memenangi anugerah pelakon wanita dalam muzikal atau komedi untuk The Substance, mengalahkan Cynthia Erivo dan Mikey Madison.
Sebastian Stan pula kalah dalam kategori pelakon lelaki dalam drama namun memenangi Anugerah Golden Globe untuk kategori Pelakon Lelaki dalam muzikal atau komedi untuk naskhah filem A Different Man.
Selain itu, selepas memenangi anugerah TV di majlis tahun lalu, Kieran Culkin dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik untuk peranannya dalam naskhah komedi Jesse Eisenberg A Real Pain.
Filem epik sejarah berjudul Shōgun mendominasi kategori drama TV dan ia dilihat menerusi siri drama, Pelakon Lelaki Terbaik (Hiroyuki Sanada),Pelakon Wanita Terbaik (Anna Sawai) dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Tadanobu Asano).
Sementara itu, kategori Aktres Terbaik kategori siri mini atau televisyen (TV) dimenangi Jodie Foster menerusi naskhah True Detective: Night Country. Colin Farrell pula memenangi bagi kategori pelakon lelaki, menerusi nakshah The Penguin.
Naskhah Netflix berjudul Baby Reindeer juga membawa pulang dua anugerah pada majlis tersebut dan ia menerusi kategori Drama Bersiri Popular dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik TV, Jessica Gunning.