JAKARTA: Pelakon terkenal Indonesia, Fedi Nuril, dihimpit dengan kontroversi apabila segelintir warganet memohon supaya dirinya tidak perlu mencampuri urusan politik di negara itu.
Kononnya, menurut warganet, tindakan Fedi itu seolah-olah menunjukkan dirinya seperti tidak laku dalam industri seni hiburan sehingga terpaksa masuk campur dalam urusan dunia politik.
Menerusi tinjauan di media sosial, terdapat beberapa akaun yang mengkritik tindakan Fedi dan menganggap pelakon itu tidak sesuai berbicara tentang dunia politik.
“Artis tua, sudah tidak laku mahu sibuk jadi komentator politik. Orang macam ini, kalau bertanding juga belum tentu diterima masyarakat,” tulis seorang pengguna.
“Memang sebaiknya anda tidak masuk dalam kancah politik yang abu-abu. Anda adalah milik rakyat dengan berbagai warnanya. Berpolitiklah dengan indah, dengan kebenaran dan keteguhan untuk kebaikan.
“Tidak masuk dalam ranah persepsi dan prasangka. Sayang bakat bagus, sayang jiwa seni yang indah tapi dikotori politik remeh-temeh,” tulis seorang lagi pengguna.
Terus dihimpit dengan kritikan dan kecaman, pekakon filem Ayat-Ayat Cinta dan Rumah Masa Depan ini tidak berdiam diri.
Malah, Fedi turut membalas komen-komen tersebut dengan kata-kata tegas termasuk memberitahu bahawa dia tidak akan berhenti melontarkan komen tentang isu politik.
“Memang sebaiknya, anda tidak mengatur-ngatur saya ya,” tegas Fedi dalam satu status yang dimuat naiknya.
Difahamkan, Fedi mula rancak mengulas mengenai isu politik di media sosial sejak Pilihan Raya Umum Indonesia 2024 (Pemilu2024).