KUALA LUMPUR : Penyanyi, Ernie Zakri, 33, mengakui, suatu ketika dirinya tergolong dalam kelompok individu yang sangat emosi dan berjiwa sensitif terutama jika menyentuh mengenai pentas Anugerah Juara Lagu (AJL).
Sering menyertai pertandingan berprestij berkenaan, Ernie berkata, sebagai manusia biasa dia juga tidak dapat mengelak daripada perasaan sedih sekiranya tidak meraih sebarang trofi AJL sekali gus menyuntik kehampaan peminat.
“Saya dulu seorang yang sangat sensitif dan emosi. Dulu pernah bersedih, duduk dalam bilik dan menangis kalau tak menang. Tetapi bila seiring dengan usia dan mungkin juga pengalaman, semua itu beri pengajaran pada saya.
“Akhirnya saya melihat pentas AJL itu sebagai satu tempat untuk saya menzahirkan karya. Saya belajar untuk buat persembahan itu dengan seikhlas hati. Apa sahaja yang datang, keputusan atau apa, itu kemudian.
“Tetapi tentulah setiap manusia yang masuk mana-mana pertandingan, tak akanlah sudah pakai baju dan bersolek cantik-cantik tidak mengharapkan sesuatu untuk dibawa pulang,”katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Bagaimanapun, kata penyanyi ini, dia tidak mahu membebankan fikirannya lagi dengan sesuatu perkara yang berada di luar kawalannya.
“Paling utama ialah untuk saya berikan persembahan terbaik di pentas itu nanti. Itu yang saya cuba letakkan dalam kepala supaya tidak berasa terduduk jika tidak menang.
“Tetapi, tentulah saya pun masih letakkan harapan untuk menang. Cuma tak mahu perkara itu mengacau fikiran saya, jadi saya rasa teruskan menyanyi dengan baik sahaja,”katanya.
Selain itu, Ernie juga menolak andaian bahawa pentas AJL sudah menjadi ‘makanannya’ memandangkan saban tahun pertandingan itu akan menyaksikan kemunculannya sebagai peserta.
Bagi Ernie, tidak adil untuk menganggap semua adalah mudah buat dirinya hanya kerana penglibatannya dapat dilihat pada setiap tahun.
“Kalaulah semua dapat melihat di belakang tabir bagaimana semua penyanyi yang bertanding itu cuba memberikan yang terbaik. Kita tidak pernah senang dalam memerah otak menghasilkan karya.
“Sebab kita ada terlalu banyak ekspektasi atau jangkaan orang yang kalau boleh mahu dipenuhi. Tetapi di akhirnya nanti saya tak boleh lupa yang saya harus menjadi diri sendiri juga.
“Kalau saya ikut sahaja semua jangkaan semua orang itu, kalau dikumpul-kumpulkan, boleh pening kepala juga saya dibuatnya. Jadi setiap tahun seperti itu juga, masih memerah otak dan masih mencuba sesuatu yang mungkin saya tak pernah buat sebelum itu,”katanya.
Bakal berentap membawakan lagu Aura di pentas AJL ke-39 pada 16 Februari ini, selain Ernie, pertandingan turut dibarisi sembilan lagu lain
Ia termasuk Sengaja nyanyian Amir Masdi, Puas Sudah nyanyian Aina Abdul, Terus Bersinar nyanyian Hafiz Suip, Saksama (Akim & The Majistret), Hening Rindu (Marsha Milan), Pujaanku (Masdo & Aisyah Aziz), Bukan Lagi Kita (Nadeera), Risiko (Benzoloo, Tuju, MK-Kclique) dan Diam (Hael Husaini).