KUALA LUMPUR : Semakin mencipta populariti, pelakon sensasi, Amir Ahnaf, mengakui tidak menyangka bakatnya diintai penerbit dan pengarah dari Indonesia sehingga akhirnya diberi peluang berlakon dalam sebuah filem berjudul Terkutuk.
Menganggap itu sebagai rezeki, Amir mendedahkan dirinya dilamar untuk filem tersebut disebabkan memiliki wajah seperti orang yang berketurunan Jawa.
Bagaimanapun Amir atau nama sebenarnya Muhammad Amir Ahnaf Mohd Khairudin, 25, tidak menolak bahawa tidak mudah untuk berlakon di negara seberang disebabkan perbezaan bahasa.
“Susah sebenarnya nak berlakon dekat Indonesia, sebab bahasa yang digunakan sedikit lain dengan kita. Saya diberi masa dua minggu untuk persiapan.
“Produksi lamar saya untuk filem itu sebab saya miliki wajah Jawa. Sebab filem itu memang berlatar masyarakat jawa. Tetapi kalau nak tahu, nenek saya pun berasal dari Jawa Indonesia,” ujarnya.
Dalam pada itu, disoal mengenai azam tahun 2025, Amir berkata dia ingin mengembangkan lagi bakat dalam dunia lakonan.
“Azam tahun 2025 saya untuk banyakkan lagi portfolia dalam lakonan baik menerusi filem mahupun drama.
“Kembangkan bakat dan cuba sesuatu yang baharu untuk diri. Saya juga akan keluar dengan sebuah naskhah berjudul Bagau.
“Dalam naskhah itu saya akan bercakap dalam dialek Terengganu, yang mana itu adalah bahasa pertama saya (mother tounge),” katanya.
Dalam perkembangan lain, filem Kahar: Kapla High Council yang menampilkan Amir sebagai teraju utama akan menemui penonton menerusi akses eksklusif di platform Astro First menerusi saluran Astro bermula 16 Januari dan peranti pilihan anda, sooka bermula 23 Januari depan.
Lebih mengujakan, filem terbitan Astro Shaw dengan kerjasama GSC, HM Entertainment dan ZAK Capital ini turut melangkah ke pasaran antarabangsa dan bakal ditayangkan di pawagam-pawagam Kemboja bermula 24 Januari 2025.