KUALA LUMPUR : Pelawak, Azrul Zaidi, tidak menolak tindakan Along Cham untuk bergandingan dengan pelawak Angah tanpa pengetahuannya atas urusan kerja telah membuatkan wujudnya perselisihan faham antaranya dengan rakannya itu.
Menyorot kembali memori itu, kata Azrul, dia masih ingat bagaimana Azrul menyisihkan diri ketika memperolehi satu tawaran kerja tanpa melibatkan dirinya sebagai anggota kumpulan Cham.
“Waktu itu ada ‘job’ jelajah ABP (Anugerah Bintang Popular) , tapi job itu Along yang dapat, jadi dia yang uruskan. Selepas itu saya mesej Along dia cakap nanti dia akan uruskan. Jadi saya biarkan sahaja.
“Satu hari saya nampak di surat khabar tiba-tiba keluar Along dan Angah, sepatutnya saya. Bila saya mesej dia tak balas. Satu hari pengurus jelajah itu telefon saya tanya kenapa tak hadir ke jelajah itu untuk jadi hos. Saya rasa terkejut lah.
“Itu antara punca kumpulan Cham renggang. Walaupun saya sayang kumpulan itu kerana tanpa Along dan saya tiada kumpulan itu,” katanya.
Malah, bekas peserta program Raja Lawak itu juga menzahirkan rasa terkilan dengan sikap Along yang dianggap tidak menghormati dirinya sebagai ahli kumpulan Cham.
“Saya bukan takut sebab job, sebab rezeki masing-masing. Cuma saya kecewa sebab tiada hormat.
“Kalau dia telefon saya dan cakap nak pergi job itu dengan Angah saya okey sahaja. Apa sahaja alasan dia sepatutnya beritahu. Saya bengang lah,”katanya.
Azrul mula dikenali ramai selepas meraih gelaran naib Juara Raja Lawak Astro musim ke-2 menerusi kumpulan Cham bersama dengan Along pada tahun 2008.