Andy Teh cuci kaki ibu ayah sempena Tahun Baharu Cina - Utusan Malaysia

Andy Teh cuci kaki ibu ayah sempena Tahun Baharu Cina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERKEJAR ke sana sini menguruskan penggambaran dan perniagaan, pelakon, Andy Teh, mengakui sudah tiga tahun dia tidak dapat beraya sepuasnya bersama keluarga.

Oleh itu, menjelang tahun 2025, anak kelahiran Klang, Selangor itu mengambil inisiatif berbincang dengan pihak penerbit untuk menunda jadual penggambarannya selepas sambutan Tahun Baharu Cina.

Anak sulung daripada tiga beradik itu tidak mahu ibu dan bapanya terasa sunyi kerana anak kesayangan mereka tidak pulang meluangkan masa bersama keluarga.

Tidak mempunyai sebarang tradisi khusus keluarga ketika sambutan Tahun Baharu Cina, Andy bagaimanapun akan berbincang bersama dua orang adiknya untuk menampilkan keunikan setiap tahun.

“Tiada tradisi yang spesifik dalam keluarga saya. Tapi selalunya, sebelum pulang ke kampung, keluarga kecil kami akan berkumpul.

“Ibu dan ayah akan duduk di sofa dan kami akan melakukan upacara beri angpau. Cuma setiap tahun, kami akan fikirkan apa lagi aktiviti yang boleh dilakukan. Contohnya tahun lalu, sebelum beri angpau kami akan cuci kaki mereka dahulu.

Seronok sebenarnya sebab ia perkara yang bukan selalu kita buat. Untuk tahun ini, saya tidak fikirkan lagi aktiviti apa yang saya mahu lakukan,” ceritanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah pelakon yang boleh berbahasa Melayu, Mandarin dan Tamil itu, selepas berkumpul, mereka akan bersama-sama pulang ke kampung yang terletak di Kuala Selangor untuk majlis makan besar.

“Macam hari raya juga, kita akan sambut sehingga beberapa hari. Paling penting sudah tentu hari pertama.

“Waktu itu, tidak kiralah anda sibuk macam mana sekalipun. Semua wajib pulang ke kampung dan hadiri majlis makan besar yang kami sebut ‘reunion dinner’,” ceritanya.

Ditanya berapakah bajet yang sudah disediakan untuk sesi pemberian angpau kepada anak saudara tahun ini, Pelakon Pendekar Awang: Indera Gajah itu hanya ketawa.

Memandangkan dirinya belum berkahwin, dia terlepas daripada kewajiban harus memberikan angpau semasa Tahun Baharu Cina.

“Dalam tradisi kami, selagi tidak kahwin, kita tidak boleh beri angpau. Sampai sekarang saya hanya terima angpau, belum lagi keluar daripada poket sendiri.

“Apapun, bagi saya, pemberian angpau adalah salah satu tradisi yang tidak boleh diukur dengan nilai. Anak muda sekarang kalau buka angpau, mereka akan mengomel jika duit itu tak banyak. Sedangkan itu tradisi sahaja.

“Apa yang lebih penting ialah keikhlasan dan tanda ingatan untuk berkongsi rezeki,” ceritanya.

Selepas kung fu, Andy Teh belajar silat pula

Selain mempunyai ilmu seni mempertahankan diri kung fu dan menjadi tenaga pengajar seni bela diri campuran (MMA) di Elitez Mont Kiara, Kuala Lumpur. Andy turut mencuri tumpuan apabila memuat naik beberapa keping foto sedang mempelajari seni bela diri silat.

“Saya belajar silat kerana terlibat dalam satu projek yang dipanggil lagenda Malaysia. Ia merupakan drama pendek sebanyak 100 episod tentang seorang budak Cina yang terjebak dalam dunia persilatan.

“Guru saya ialah pelakon aksi, Ruzaidi Abdul Rahman. Memandangkan saya ada asas ilmu pertahankan diri, tidak sukar untuk saya mempelajari silat.

“Lagipula, silat dan kung fu ada persamaan kerana kedua-duanya mempunyai ‘bunga’. Drama tersebut bakal menemui penonton tahun ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya