KUALA LUMPUR: Didakwa tidak mempunyai ‘killer song’ oleh Man Bai, penyanyi terkemuka, Aina Abdul, mengakui tidak berkecil hati dengan kenyataan yang dibuat oleh artis senior itu.
Sebaliknya, Aina mengakui, kata-kata itu mencetuskan semangat baharu buatnya untuk berusaha menghasilkan lagu dengan lebih bermutu selepas ini.
“Saya baru menyedari mengenai kenyataan dibuatnya baru-baru ini. Ada rasa sedih sedikit dengan kenyataan itu tetapi saya bersangka baik sahaja.
“Saya pun tak tahu konteks perbualan Man Bai, jadi saya tidak mahu berat sebelah selain enggan disebabkan hal tersebut kami jadi janggal apabila berjumpa kelak kerana saya kerap menyewa studio Man Bai setiap kali menjelang konsert.
“Jadi kami pernah bekerja secara rapat. Bagi saya teguran seperti itu saya ambil dari sudut positif, sekali gus bersemangat mencari lagu yang lebih bagus,” katanya selepas sidang media konsert By Ajai & Mega Friends, baru-baru ini.
Selain itu, jelas Aina yang merangkul trofi Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu-36 (AJL36) itu tidak menyalahkan Man Bai dan mengakui ‘killer song’ penting kepada kerjaya seseorang penyanyi.
“Saya terima dengan penuh rasa cinta, cuma seperti saya katakan tadi, saya tidak tahu dengan terperinci perbualan berkenaan.Jadi saya takut menghukum perbualan itu seolah-olah saya tak terima kenyataan namun saya harus akui apa dikatakannya itu.
“Saya kerja keras untuk adakan ‘killer song’ selama dalam industri tapi lagu-lagu saya Sumpah, Sepi, Semalam belum cukup untuk jadi ‘killer song’.
“Killer song’ kena ada kerana itu komponen penting untuk berjaya. Seperti Ajai, disebabkan lagu hitnya, dia dapat bertahan sampai sekarang,” ujarnya.
Dalam pada itu, Aina juga mengakui menyimpan impian untuk bekerjasama dan mendapatkan lagu daripada komposer hebat seperti Ajai, Datuk M. Nasir dan Aubrey Suwito.