KUALA LUMPUR : Pengarah, Datuk Afdlin Shauki,54,menafikan dakwaan terlibat dalam salah laku perolehan projek naungan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Afdlin berkata, tuduhan tersebut merupakan satu fitnah yang didorong perasaan hasad dengki selain tidak menolak wujud cubaan menjatuhkan dirinya.
“Pertama sekali saya menafikan sekeras-kerasnya telah terdapat apa-apa unsur salah laku dalam perolehan projek tersebut.
“Ini merupakan sebuah usaha oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk memburukkan nama saya. Agenda pihak ini hanya didorong oleh perasaan hasad dengki dan dendam tidak bertempat,” katanya.
Afdlin menjelaskan perkara itu menerusi hantaran di Instagram miliknya , hari ini.
Jelas Afdlin lagi, dia tidak mahu berdiam diri serta nekad membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.
Jelasnya, pihak DBKL juga sedang melakukan siasatan berhubung dakwaan itu.
“Saya juga telah membuat satu laporan polis bersama pihak PDRM pada hari ini untuk membolehkan siasatan dijalankan berkenaan perkara ini.
“Saya difahamkan perkara ini juga sedang disiasat secara dalaman oleh DBKL,”katanya.
Kata Afdlin, dia turut bersedia untuk memberi kerjasama dengan mana-mana pihak agar fitnah melibatkan namanya dapat dibersihkan dengan sewajarnya.
Pihaknya juga berharap agar orang ramai tidak terlalu terburu-buru dalam memberi tanggapan buruk mengenai fitnah yang tersebar.
“Saya menyeru saudara saudari sekalian untuk memberi ruang kepada pihak-pihak yang berwajib untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.
“Saya juga bersedia untuk memberi kerjasama penuh dalam mana-mana siasatan yang dijalankan berhubung perkara ini oleh mana-mana agensi penguatkuasaan. Fitnah dan tohmahan berniat jahat ini tidak seharusnya dibiarkan untuk berleluasa.
“Saya yakin dan pasti dengan izin Allah SWT akhirnya kebenaran akan tersuluh dan keadilan akan ditegakkan,”katanya.
Sejak 28 Januari lalu, kecoh di Telegram Edisi Siasat mendakwa Afdlin yang merupakan Ahli Lembaga Penasihat DBKL antara individu terlibat dalam perolehan projek penerbitan bahan kreatif oleh DBKL dipercayai bernilai lebih RM10 juta.
Aduan tersebut dipercayai dilakukan oleh kakitangan DBKL kepada Edisi Siasat.