KUALA LUMPUR :Pelakon, Julia Farhana, mendedahkan tidak selesa apabila melihat wujud wanita lain cuba menggoda suaminya, Dr Mohammad Che Hafiz Che Ibrahim dalam satu kejadian yang berlaku di depan matanya sendiri.
Menurut Julia atau nama sebenarnya, Julia Farhana Marin, 31, wanita terbabit juga tidak mengendahkan keberadaan dirinya di tempat kejadian.
“Saya pernah berada dalam situasi di mana seorang wanita datang kepada suami saya, berbual dengannya dan langsung mengabaikan kewujudan saya di sebelah dia.
“Girl, saya tidak berminat untuk berbual dengan awak, dan jelas suami saya pun jawab sepatah-sepatah, di mana akal logika awak?
“Kami tidak selesa, tinggalkan kami, biarkan suami saya sendirian. Dia jelas tidak mahu bercakap dengan anda,” katanya.
Julia berkongsi perkara itu menerusi hantaran di Instastory miliknya, semalam.
Dalam pada itu, kata Julia dia bersyukur suaminya tidak pernah mencari masalah kerana sentiasa menjaga batas hubungan dengan wanita lain.
“Suami saya tidak pernah jadi masalah kerana dia memang jaga sempadan. Alhamdullilah saya tak pernah nak risau,” ujarnya.
Untuk rekod, Julia dan Che Hafiz mendirikan rumah tangga pada 14 Disember 2022.
Sebelum ini, Che Hafiz pernah berkahwin dengan pelakon dan penyanyi Lufya Omar pada 26 November 2016 namun bercerai pada 17 Jun 2020.
Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Laana Haura yang kini berusia 7 tahun.