KUALA LUMPUR : Penyanyi dan vokalis Wings, Awie,56, menasihatkan mana-mana pihak yang tidak lagi mempunyai kaitan tidak perlu mencampuri sebarang urusan kumpulan tersebut.
Menurut Awie atau nama sebenarnya, Datuk Ahmad Azhar Othman, sepatutnya semua pihak harus menghormati anggota kumpulan sedia ada yang kini kekal meneruskan perjuangan muzik di bawah jenama Wings.
“Sila bertenang. Sebenarnya saya juga ingin bersama (JoBranko). Tapi kalau saya bersama, dua orang ini (Sham dan Edrie) saya nak campak mana? Kemahuan orang ini hanya empat orang saja (Awie, Eddie, Black dan JoBranko).
“Tak bagus lah. Sebenarnya kita pun nak, tetapi dalam masa tengah kita perjuangkan sesuatu ini, kita buatlah jalan dulu. Yang lain jangan sibuk sebab Joe (JoBranko) pun dah ‘move on’. Saya pun dah ‘move on’.
“Jadi kita tak ada apa-apa nak dikecohkan lagi. Mereka (Barbarik) dah ada band yang bagus. Barbarik sangat bagus, jalan terus tak ada masalah,” katanya ditemui pada sidang media Konsert TRIAD di sebuah kelab hiburan, di sini, semalam.
Awie berkata demikian bagi mengulas mengenai kenyataan Mel juga bekas penyanyi Wings yang mahu melihat anggota asal kumpulan itu bersatu kembali sebelum dia menutup mata.
Jelas Awie, dia berharap pihak berkaitan yang sudah terkeluar daripada Wings supaya tidak perlu menyibuk dan biarkan mereka menguruskan kumpulan itu sebaiknya.
“Memang kita nak. Di peringkat umur ini kita dah tak nak kecoh-kecohlah.
“Saya pun tak pernah nak bising apa-apa. Saya diam saja semua, saya tak nak cakap apa pun, tidak. Tapi bila yang orang luar pula bercakap macam ini untuk apa? Tak usah keruhkan keadaan.
“Nanti benda ini nampak buruk pada saya juga. Saya tak nak orang asyik menuduh saya sahaja sebab saya tak pernah buka mulut pun apa soal peribadi, soal kejadian A hingga Z. Saya diam,” katanya.
Pada masa yang sama, Awie secara peribadi enggan menuding jari kepada sesiapa dan membiarkan isu ini berlalu pergi dengan sendirinya.
“Saya suka tengok band dia. Saya tengok persembahan mereka, bagus band ini, teruskan. Tak ada apa lagi dia (JoBranko) nak toleh belakang dah. Tak perlu lagi. Masing masing dah bahagia dengan jalan hidup sendiri.
“Saya tengok mereka dah okey dah sukses. Yang bagus teruskan dan saya sokong. Tak perlu nak fikir lagi dah apa yang lepas-lepas.
“Yang membuatkan fikiran orang berfikir ini adalah orang yang di kiri kanan yang bukan-bukan,” katanya.
Sementara itu, Konsert TRIAD akan menampilkan Awie sebagai penyanyi utama untuk tiga kumpulan rock ikonik: Wings, Search Kid Din, dan juga Dragon Malaya.
Konsert TRIAD dianjurkan Rumah Produksi Merah ini berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 14 Februari depan jam 8.30 malam.
Dragon Malaya kini dianggotai Lan Taro, Eddie Def Gab C, dan Pae. Ia ditubuhkan pada tahun 1998, Dragon Malaya adalah kumpulan pengiring untuk persembahan solo Awie, termasuk projek album solonya, Rentap, dengan lagu ikonik seperti Kuda Tiga Kaki dan Bumi Kita Ada Naga.