Tiket laris ibarat ‘goreng pisang panas’, GENKRU bakal gegar Axiata Mei hadapan - Utusan Malaysia

Tiket laris ibarat ‘goreng pisang panas’, GENKRU bakal gegar Axiata Mei hadapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Petaling Jaya – Trio legenda muzik tempatan, KRU, bakal mencipta sejarah baharu dalam industri hiburan Malaysia melalui Konsert GENKRU yang dijadualkan berlangsung pada 3 Mei 2025 di Axiata Arena. Acara ini menandakan kepulangan epik Norman, Yusry, dan Edry Abdul Halim ke pentas besar selepas lebih enam tahun menyepi.

KRU, yang mula mencipta nama pada tahun 1992, terkenal dengan karya revolusioner mereka seperti Mengerti, Apa Saja, Fanatik, dan Awas. Dengan lebih tiga dekad pengaruh besar dalam industri muzik, konsert ini dijangka menjadi medan nostalgia bagi peminat setia serta peluang untuk generasi muda mengenali kumpulan ikonik ini.

Menurut Iman Tang, Pengasas ICON Entertainment selaku penganjur konsert ini, perancangan telah dimulakan sejak tahun 2022. “Konsert GENKRU adalah penghormatan kepada legasi KRU. Ini bukan sekadar hiburan, tetapi satu pengalaman yang akan menghidupkan semula kenangan dan mencipta memori baharu,” katanya.

Sementara itu, KRU menyifatkan konsert ini sebagai peluang untuk memaparkan evolusi mereka dalam muzik sejak era 90-an hingga kini. “Kami ingin berkongsi perjalanan lebih 30 tahun dalam industri dengan peminat yang setia bersama kami selama ini,” ujar trio itu dalam satu kenyataan.

Sambutan luar biasa daripada peminat turut mencuri perhatian, apabila tiket Konsert GENKRU habis dijual dalam masa kurang tiga jam. “Kami terharu dengan sambutan luar biasa ini, dengan 10 ribu pembeli siap berebut tiket sejak 8.30 pagi,” kata Iman Tang.

Atas permintaan ramai, ICON Entertainment mengumumkan konsert hari kedua yang turut mendapat sambutan luar biasa. Tiket untuk hari kedua habis dijual dalam masa hanya 45 minit. “Ini adalah hadiah tahun baharu yang sangat bermakna untuk KRU dan Icon Entertainment,” tambah Iman Tang.

Sejurus menerima berita gembira ini, KRU dan ICON Entertainment segera mengadakan mesyuarat dalam talian bagi membincangkan cara terbaik untuk membalas penghargaan para peminat. Mereka turut prihatin terhadap rintihan dan mesej-mesej yang disampaikan melalui Direct Message di media sosial.

“Segala mesej yang diterima diambil berat oleh pihak kami. Kami sedang memikirkan cara terbaik untuk memenuhi permintaan ramai. Satu pengumuman terbaik akan dibuat kelak,” jelas KRU dan pihak penganjur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya