KUALA LUMPUR : Pempengaruh dan usahawan kontroversi, Datin Vivy Yusof mengakui kini memilih untuk tidak lagi berkongsi kehidupannya kepada masyarakat umum menerusi semua platform media sosial.
Menerusi hantaran di Instagram, Vivy atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 37, memutuskan untuk menukar mode awam akaun Instagram miliknya kepada mode peribadi sempena hari lahirnya.
Katanya, keputusan ini dibuat kerana ingin mengubah kebiasaan berkongsi kehidupan peribadinya kepada umum.
“Sempena hari lahir, saya melakukan sesuatu yang tidak pernah saya fikirkan iaitu menjadikan akaun media sosial saya ke mode peribadi.
“Saya menutup pintu untuk orang mengetahui tentang hidup saya kerana tiba masanya untuk saya melakukannya dengan cara yang berbeza,” katanya.
Menurut Vivy, tindakan itu dibuat kerana sebelum ini sudah terlalu banyak perkongsian kehidupan peribadinya menerusi platform media sosial namun sedikit pun hal itu tidak pernah disesali.
Tambahnya, apa yang berlaku dalam kehidupannya itu merupakan takdir yang perlu diterimanya.
“Saya telah berkongsi, malah terlalu banyak berkongsi, hampir semua bahagian kehidupan saya sama ada baik yang manis mahupun yang pahit dan saya tidak pernah menyesalinya.
“Itulah jalan yang telah ditentukan untuk saya, yang memberikan rezeki kepada keluarga saya dan banyak keluarga lain, InsyaAllah. Proudduck, terima kasih untuk segalanya, kamu akan sentiasa menjadi sebahagian daripada diri saya,” jelasnya.
Pada masa sama, pengasas FashionValet itu sendiri tidak menyangka penglibatannya selama 20 tahun dalam dunia blog telah membuka banyak peluang dalam industri perniagaan.
“Hampir 20 tahun yang lalu, saya memulakan sebuah blog yang tidak pernah saya sangka akan membuka begitu banyak pintu peluang.
“Blog itu membawa saya untuk mencipta jenama bersama pasukan yang hebat, dan mengumpulkan sebuah komuniti yang menyaksikan perjalanan hidup saya daripada seorang pelajar universiti, kepada seorang isteri, ibu, dan akhirnya seorang usahawan yang penuh dengan suka dan duka,”ujarnya.