KUALA LUMPUR : Penyanyi dan pemenang anugerah Live Artist of The Year, mengakui Ameerais, 34, tidak berkecil hati apabila wujud kalangan warganet yang menggelarkannya sebagai artis di platfrom TikTok sahaja.
Menurut Ameerais, dia tidak mampu menutup mulut manusia daripada berkata-kata kerana niatnya meneruskan perjuangan dalam industri adalah untuk menghiburkan orang ramai.
“Saya terima sahaja (gelaran artis TikTok) kerana masing-masing ada pandangan tersendiri dan kita tak boleh nak tutup mulut orang.
“Niat saya cuma mahu menghiburkan orang dengan nyanyian saya,” katanya.
Merasai perbezaan bergelar artis dalam dua generasi berbeza, Ameerais mengakui bukan mudah untuk menempa nama dalam era moden kini.
Penyanyi lagu Selalu itu bagaimanapun berkata dia perlu meneroka pelbagai platform kerana kerjaya sebagai penghibur menjadi sumber rezeki buat dirinya dan keluarga.
“Dulu dan sekarang sangat berbeza, saya rasai dua generasi yang berbeza iaitu sebelum dan selepas adanya dunia media sosial.
“Sekarang memang kena kuat berdaya saing. Ramai fikir jadi pencipta kandungan ni perkara mudah tapi mereka tak nampak kepayahan disebaliknya.
“Tapi itu perkara yang saya suka, nak buat kerja lain memang saya tak reti, jadi saya akan cuba menambah baik dari masa ke masa,” jelasnya.
Sementara itu, Ameerais bersyukur rezekinya semakin bertambah selepas berakhirnya program realiti nyanyian Gimme The Mic.
Kata Ameerais kejayaan itu hasil berkat doa isteri dan anak-anak yang mahu melihat dirinya berjaya.
“Alhamdulillah rezeki isteri dan anak-anak yang sentiasa doakan yang terbaik buat saya
“Kehidupan lepas Gimme The Mic ada impak dalam hidup saya dan kalua ikutkan jadual kerja tahun depan agak sibuk juga.
“Apapun saya bersyukur dengan rezeki yang diberikan, cukup untuk saya dan keluarga,” ujarnya.
Untuk rekod, Ameerais berkahwin dengan Siti Nurnaja’a Shamsul Kamar pada 1 Mac 2019 dan pasangan ini mempunyai dua cahaya mata lelaki iaitu Noah Eusoff, 4, dan Nedim Eibrahim, 3 tahun.