KUALA LUMPUR : Pelakon terkenal, Nora Danish, 42, mengakui bersyukur kepada Allah kerana telah membuka pintu hatinya untuk melakukan penghijrahan yang baik ke jalan-Nya.
Mengenang kembali detik permulaan, kata Nora, dia pernah memohon kepada Allah dalam sujud dan doa-doanya supaya dapat berubah ke arah kebaikan dan didekatkan dengan orang-orang baik di sekelilingnya.
“Saya percaya perubahan saya sememangnya untuk Dia. Allah yang gerakkan hati saya. Keduanya, kawan-kawan saya ketika iti, terutama Betty Rahmat yang tak pernah jemu menjemput untuk hadir ke majlis ilmu walaupun saya rasa jahil masa itu.
“Selain itu. Saya rasa masalah yang dihadapi ketika itu tidaklah sebesar mana seperti apa yang orang lain hadapi. Macam krisis rumah tangga, hanyalah kecil sahaja.
“Namun masih saya ingat, masa itu diri betul-betul nak sangat berubah. Satu tahap, dah masuk usia 40 tahun, saya dah mula tak suka dengan kehidupan lama saya,”katanya.
Jelas Nora, dia mula terdetik untuk berubah kerana merasakan seakan ada yang hilang dalam hati dan jiwanya ketika itu.
“Sebelum ini saya fikir diri tak ada pilihan sebab merasakan itulah kehidupan saya waktu itu. Dengan berparti, macam-macamlah. Tetapi dalam hati, saya merasakan ada sesuatu yang hilang.
“Saya ada terbaca satu zikir yang menyebut bagaimana kita nak mencintai Allah. Saya baca zikir itu setiap hari. Saya solat dan zikir meminta dengan-Nya sampai menangis-nangis. Saya betul-betul memahami dan menjiwai zikir itu.
“Mungkin sebab itu jugakah Allah bukakan pintu hati dan mudahkan jalan saya untuk berubah.
Alhamdulillah, kawan-kawan yang nakal dulu itu pun tak mencari saya dah. Iman saya kuat pula di situ,”katanya.
Nora berkata demikian sewaktu menyertai sesi usrah dan perkongsian ilmu yang dianjurkan oleb Betty Rahmat di kediamannya, semalam.
Sesi tersebut turut disiar secara langsung di akaun Tik Tok milik Betty.
Dalam pada itu, Nora sempat menitipkan tips bagi mereka yang mahu melakukan perubahan baik dalam kehidupan.
Antaranya kata Nora, keinginan itu harus disertakan dengan kejujuran dalam hati.
“Kita kena jujur dari hati untuk berdamping dengan Allah dan Al-Quran. Persekitaran dan kawan-kawan yang baik juga adalah penting untuk kita melakukan penghijrahan ini,”ujarnya.