KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Watie Sadali, 48, tidak menolak pernah menyimpan hasrat untuk menyertai program realiti Gegar Vaganza namun keinginan itu tidak disokong oleh suaminya, pelakon dan pelawak, Joey Daud.
Watie berkata, dia tidak berkecil hati dengan keputusan itu kerana sedar diri dan ruang selain menghormati suaminya.
“Joey tak beri saya masuk, dia katakan jangan memalukan diri sendiri sebab bukan seorang saja yang akan tengok saya tapi berjuta. Saya pun sudah lama tak menyanyi.
“Saya pun sudah sibuk berlakon, dan menyanyi ini bukanlah boleh ikut suka sahaja macam kita menyanyi di karaoke. Nama pun pertandingan, jadi kita tak boleh nak ikut suka dan pastinya kita akan rasa gugup lain macam.
“Sedangkan mengajar zumba pun pada lagu pertama saya akan gugup, padahal saya selalu buat kerja itu. Datuk Seri Siti Nurhaliza pun gugup pada lagu pertama. Macam itu juga saya.
“Disebabkan itu ketika Azza meminta saya menyertai mereka, saya mohon maaf, sememangnya mereka merajuk dengan saya sebab mereka pujuk saya tapi saya tetap tak mahu. Saya katakan mereka kena minta izin Joey, jadi bila suami saya tak izinkan, takkan saya nak pandai-pandai,” katanya.
Watie berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Kemaafan Dendam Yang Terindah yang diadakan St Giles Boulevard Hotel, Mid Valley, di sini, semalam.
Watie juga berkata, dia bersetuju dengan pendapat suaminya kerana dia juga mahu menjaga kesihatan mentalnya.
“Suami saya juga ada katakan dia tak mahu nanti saya menangis, sebab dia tahu isteri dia macam mana. Sebenarnya keinginan saya membuak-buak nak sertai sebab bila lagi kami nak buat comeback dan inilah masa nak bagi generasi baru kenal kita.
“Saya harapkan saya masuk juga, tapi saya fikir betul juga cakap suami saya. Saya pun lemah bila fikir apa orang akan cakap, saya boleh kena ‘anxiety’.
“Saya terbayang-bayang komen orang ramai iyalah saya sudah lama tidak menyanyi. Saya sensitif, baca komen nanti saya boleh menangis, jadi saya ambil keputusan tepat untuk tak masuk,” katanya.
Terdahulu, Elite yang dianggotai oleh Linda Rafar, Sasha Saidin dan Azza pernah menyertai Gegar Vaganza musim kelima (GV5) pada 2018.
Dalam perkembangan lain, Watie mengakui teruja melihat trio legenda KRU tampil dengan konsert berskala besar selepas kali terakhir kumpulan itu membuat persembahan terbuka di Istana Budaya pada 2018.
Watie berkata dia juga seronok sekiranya KRU mempelawa Elite sebagai artis undangan.
“Ya memang sangat teringin, kalau KRU panggil kami buat penampilan istimewa, sebab KRU adalah orang yang bertanggungjawab menubuhkan Elite.
“Banyak sangat kenangan kami dengan KEU, jadi bila KRU buat comeback ini memang saya sokong gila-gila sampai meremang saya bila tengok KRU buat persembahan di TV3 semalam. Meremang sebab teringat zaman kami dulu buat persembahan di Stadium Merdeka,” katanya.