KUALA LUMPUR: Penyanyi, Datuk Syafinaz Selamat, 51, menyifatkan program Gegar Vaganza masih sebuah pertandingan nyanyian yang relevan untuk melonjakkan produktiviti penyanyi-penyanyi lama.
Kata Syafinaz yang juri program tersebut, hal itu kerana peserta, bukan hanya menonjolkan kemampuan nyanyian pada setiap minggu, malah diuji kreativiti dan tahap produktiviti mereka dengan persembahan yang memuaskan.
“Harus diingat, kemampuan peserta, yang rata-ratanya penyanyi lama tidak sama dengan ketika mereka muda dahulu.
“Dan pastinya sebelum mereka bersetuju untuk sertai GV, mereka sudah pun bersedia untuk menyahut cabaran, melakukan perkara baharu, menyanyikan lagu penyanyi lain, menghafal lirik pelbagai lagu dan sebagainya.
“Boleh kata, peserta setiap minggu perlu ‘perah otak’ untuk memikirkan tentang persembahan mereka. Bukan sekadar menyanyi sahaja.
“Jadi, GV masih relevan untuk menguji kebolehan penyanyi-penyanyi lama,” katanya.
Syafinaz berkata demikian selepas pementasan teater Muzikal Permata di Angkasapuri, semalam.
Dalam masa yang sama, Syafinaz juga menolak pandangan segelintir pihak yang sudah lebih awal boleh meramalkan kejuraan program tersebut.
Katanya, banyak kemungkinan yang tidak dapat dijangka boleh berlaku dalam sesebuah pertandingan nyanyian.
“Contoh Mus May, yang pada GV musim ke-7 diramalkan menang, akhirnya peserta lain yang juara.
“Jadi, sebenarnya kita tak boleh jangka kerana banyak kemungkinan boleh berlaku.
“Mungkin peserta itu mendominasi minggu-minggu awal, tapi seterusnya, kita tak tahu prestasinya dan adakah dia mampu mengekalkan penguasaan sampai ke minggu akhir,” jelasnya.