KUALA LUMPUR : Penyanyi lagu-lagu tradisional, Aspalela Abdulah disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sekitar jam 10 pagi tadi.
Menurut cucunya, Puteri Wan Nur Izzati Azhari, Allahyarham yang bakal genap usianya 80 tahun pada 30 Januari depan dikatakan telah jatuh dalam bilik air di kediamannya di Taman Melati, ibu negara.
Jelas Izzati, dia dan ahli keluarga menyedari neneknya itu terjatuh semasa bangun menunaikan solat Subuh.
“Mungkin nenek terjatuh ketika mahu membersihkan diri untuk menunaikan solat Subuh.
“Sebaik melihat keadaan nenek, kami segera menghubungi ambulans dan membawanya ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan.
“Namun, doktor memaklumkan nenek meninggal dunia sekitar jam 10 pagi tadi,” katanya.
Nur Izzati berkata, Allahyarham Aspalela tidak mempunyai sebarang rekod kesihatan yang serius, sebaliknya, neneknya mempunyai masalah darah tinggi dan kolestrol yang terkawal.
Tambah Izzati lagi, dari HKL, jenazah neneknya akan dibawa ke Masjid Salahuddin al-Ayubi, Taman Melati, di sini, sebelum dijangka dikebumikan selepas solat Asar kelak.
Pernah meraih juara Bintang Radio 1968, Allahyarham Aspalela merupakan penyanyi lagu-lagu Melayu asli yang sangat disegani ramai.
Sepanjang bergelar penyanyi, Allahyarham pernah merakamkan lima buah abum.
Allahyarham Aspalela menikahi bintang filem terkenal, Raja Ismail Raja Saat dan melalui pernikahan itu, pasangan tersebut dikurniakan tiga orang cahaya mata.
Allahyarham Aspalela juga mempunyai tiga orang cucu.
Selepas tidak lagi aktif menyanyi, Allahyarham Aspalela memberi tumpuan pada aktiviti marhaban dan bacaan Yassin bersama-sama Kumpulan Artis Wanita Malaysia (KAWAN).