KUALA LUMPUR: Menepati ramalan, pelakon, Elizabeth Tan dan Jack Tan telah berjaya memenangi kategori Pelakon Pembantu Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33), malam tadi.
Tidak mengjangkakan pengiktirafan tersebut, Elizabeth Tan yang juga merupakan seorang penyanyi berjaya membawa pulang trofi kategori tersebut bagi filem Sheriff: Narko Intergriti.
“Menggigil saya. Saya betul-betul tidak sangka saya akan memenangi anugerah ini. Saya pun tak jangka saya tercalon, bagi saya itu pun satu kemenangan.
“Bila saya tengok calon lain, mereka semua telah menceburi bidang ini sudah lama. Dengan anugerah ini telah membuktikan saya bukan sahaja seorang penyanyi tetapi pelakon.
“Namun, masih banyak lagi yang saya perlu pelajari. Saya harap satu hari nanti saya dapat membintangi watak utama kerana perkara itu mungkin susah untuk saya kerana berbangsa Cina.
Kemenangan itu sekali gus menumpaskan empat lagi pelakon pembantu wanita lain seperti Nadiya Nisaa, Pauline Tan, Angeline Tan dan Remon Lim.
Sementara itu, Jack Tan yang kini bergiat aktif menerusi produksi Taiwan juga tidak menjangkakan kemenangan itu berpihak kepadanya bagi kategori Pelakon Lelaki Pembantu Terbaik FFM33.
Jack Tan yang memegang watak sebagai adik menerusi filem Abang Adik arahan Jin Ong itu menyifatkan pengiktirafan tersebut secara tidak meletakkan tanda aras baharu dalam kerjaya seninya.
“Saya sangat tidak jangka kemenangan ini. Saya sangat gembira kerana Abang Adik masih jauh lagi perjalanannya. Tahun depan juga mungkin akan pergi ke Oscar.
“Sewaktu berlakon sebagai Adik menerusi filem itu, saya tidak terfikir ini akan memberikan saya kemenangan bermakna seperti ini. Saya seorang yang cintakan lakonan.
“Setelah lapan tahun saya tetap kembali untuk tunjukkan sokongan kepada FFM. Untuk seorang pelakon, kalau boleh dapat naskhah yang istimewa dan luar biasa itu rezeki,” jelasnya.
Selain Jack Tan, kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik itu turut dibarisi aktor handal seperti Syafiq Kyle, Sharnaaz Ahmad, Wan Azli dan Kahoe Hon. -UTUSAN